London: Bek kiri berusia 23 tahun, Riccardo Calafiori mencuri perhatian penyokong selepas menyelamatkan gawang Arsenal menerusi aksi luar biasa ketika menentang Everton.
Dia yang membuat penampilan pertama dalam kesebelasan utama Arsenal sejak awal Februari membuktikan nilainya dengan mempamerkan ketangkasan di luar jangkaan bagi memastikan Arsenal tidak ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama di Stadium Emirates.
Pada minit ke-19, pasukan pelawat mencipta peluang berbahaya dan penjaga gol Arsenal David Raya berjaya menepis satu hantaran lintang. Namun bola jatuh kepada pemain lawan yang terus melakukan rembatan hasil daripada bola muntah tersebut.
Bola kelihatan hampir pasti masuk ke dalam gawang, tetapi Calafiori yang sebelum itu tergelincir berjaya bangkit dan menggunakan kakinya untuk melakukan tampanan hebat.
Dia mempamerkan refleks yang menakjubkan untuk menyekat bola tersebut, sekali gus menyelamatkan Raya daripada dibolosi dan menafikan jaringan Everton.
Aksi terbabit pantas tersebar di media sosial dan mendapat pujian menggunungpenyokong Arsenal sehingga ada yang bergurau meminta sebuah patung dibina untuk menghormati Calafiori dan mahu detik itu dijadikan peringatan kekal di Emirates.
Seorang peminat dalam reaksinya berkata: “Saya tak begitu menilai dia sebelum ini, tapi kalau kita menang liga, bina patung Calafiori untuk aksi itu.”
Manakala penyokong kedua berkata: “Ini sekatan paling hebat ‘Calafiori’ yang pernah saya lihat. Blok Calafiori ni, lelaki ini patut dapat kenaikan gaji.”
Penyokong yang lain pula berpendapat Calafiori melakukan sekatan akrobatik yang besar. “Seakan ‘scorpion save’! Calafiori menyelamatkan peluang Everton dengan clearance yang sangat kreatif. Siapa kata bertahan tak boleh nampak cantik? Itu memang ‘super scorpion block’.”
Kemenangan Arsenal turut memberi kelebihan sembilan mata di puncak liga sebelum pencabar terdekat mereka, Manchester City sekali lagi tercicir mata apabila seri 1-1 menentang West Ham United.
© New Straits Times Press (M) Bhd






