LOS ANGELES: Rapper sensasi, Kanye West dan isterinya, Bianca Censori hangat diperkatakan selepas keduanya diminta meninggalkan majlis selepas menghadiri acara karpet merah Anugerah Grammy, pagi tadi waktu tempatan.
Portal The Sun melaporkan, pasangan suami isteri itu, yang merupakan tetamu acara gilang gemilang itu meninggalkan sesi berkenaan sambil diiringi polis.
Sumber portal tersebut memaklumkan mereka diminta meninggalkan acara itu disebabkan penampilan tidak senonoh Bianca yang hadir dalam keadaaan berbogel.
Pasangan itu sempat menimbulkan kekecohan sebelum keduanya beredar dari lokasi penganjuran acara berkenaan.
Insiden tersebut hangat diperkatakan warganet dengan ada yang mendakwa Kanye dan isterinya hadir ke acara berkenaan tanpa undangan.
Namun khabar angin tersebut reda apabila pihak Grammy memaklumkan rapper tersebut adalah tetamu diundang kerana beliau tercalon dalam beberapa kategori yang dipertandingkan.