“Di sebalik indahnya perasaan cinta, tersimpan racun yang mampu meracuni jiwa” demikian intipati kisah yang diangkat menerusi Tonton Original Series: Toksik Cinta, naskhah baharu arahan Pali Yahya dan ditulis oleh Erma Fatima.
Menampilkan gabungan elemen melodrama, thriller rumah tangga dan jenayah, Toksik Cinta menjanjikan kisah penuh konflik, emosi serta permainan psikologi yang mendalam.
Selepas kejayaan drama Keluarga Itu, Erma Fatima sekali lagi tampil lebih berani meneroka sisi gelap psikologi manusia dalam naskhah kali ini.
Melalui Toksik Cinta, Erma mengupas batas antara cinta dan obsesi, serta bagaimana keinginan untuk memiliki boleh bertukar menjadi racun yang memusnahkan.
Selain jalan cerita yang menarik, Erma turut mengetengahkan barisan pelakon hebat antaranya, Riena Diana, Aqasha, Keith Foo, Cristina Suzanne, Dayang Areeda, Ruzana Ibrahim, Tony Eusoff, Esma Daniel dan Izzue Islam.
Kisah Toksik Cinta bermula dengan watak Alfi (Aqasha), seorang pengarah filem terkenal yang jatuh cinta dengan Karmila (Riena Diana), pelakon dan pempengaruh muda.
Hubungan mereka bermula indah namun berakhir dengan penderitaan apabila Karmila memfailkan penceraian dan mendakwa dirinya menjadi mangsa penderaan. Dengan bantuan peguamnya, Amsyar (Keith Foo), Karmila membawa kes tersebut ke mahkamah.
Menurut Riena, watak Karmila cukup mencabar kerana memerlukan pemahaman mendalam terhadap emosi dan trauma wanita itu.
“Karmila bukan sekadar wanita keliru, tetapi seseorang yang pernah dikhianati dan dibesarkan dalam keluarga berantakan.
“Dia nampak kuat di luar, tapi sebenarnya rapuh di dalam. Toksik Cinta bagi saya menggambarkan bagaimana cinta dan luka silam boleh mengubah cara seseorang melihat dunia,” katanya.
Selaku penulis drama Toksik Cinta, Erma Fatima pula menjelaskan, naskhah ini bukan sekadar kisah rumah tangga yang retak, tetapi cerminan kepada realiti sosial masa kini tentang bagaimana kasih sayang dan perasaan cinta boleh bertukar menjadi dendam tatkala diselubungi ego dan keinginan untuk memiliki.
Sekadar info, sempena pelancaran siri ini, Tonton turut menawarkan langganan TontonUp selama tiga bulan beserta ganjaran menarik melalui Tonton Rewards, termasuk baucar Pizza Hut RM20 dan Baskin-Robbins RM10 sebagai penghargaan kepada pelanggan setia.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan Tonton Original Series: Toksik Cinta bermula 27 Oktober 2025, hanya di Tonton.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti @tontonmy di Facebook, Instagram, TikTok dan X (Twitter).