Tan Sri ditahan ambil RM10 juta konon bantu selesai kes AMLA

Tan Sri ditahan ambil RM10 juta konon bantu selesai kes AMLA



am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri ditahan polis petang tadi di kediamannya, sebaik pulang dari Osaka, Jepun selepas memperdaya orang ramai dengan mengambil RM10 juta.

Ia kononnya untuk diserah kepada pihak polis bagi menyelesaikan kes membabitkan pengubahan wang haram.

Menurut sumber, lelaki berusia 59 tahun itu yang baru pulang dari luar negara ditahan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman sebaik tiba di kediamannya di Jalan U Thant.

“Suspek setakat ini sudah mengambil duit daripada mangsa sekitar RM10 juta, di mana sebelum itu beliau dikatakan meminta RM25 juta sambil mendakwa mempunyai kenalan rapat dengan polis dan boleh menyelesaikan kes dihadapi mereka.

“Malah suspek kononnya ingin menyerahkan wang diambil itu untuk diserahkan kepada polis bagi membantu mangsa tidak dikenakan tindakan atau disiasat membabitkan kes AMLA,” katanya kepada Harian Metro malam ini.

Sumber berkata, kegiatan suspek bagaimanapun diketahui pihak AMLA yang kemudian menjalankan risikan dan siasatan sebelum menahan suspek hari ini.

“Suspek akan dibawa ke mahkamah esok untuk mendapat perintah tahanan reman,” katanya.

Suspek merupakan tokoh berpengalaman selama 30 tahun dalam perniagaan industri minyak, gas dan merupakan pengerusi sebuah syarikat.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, satu sidang media berkaitan kes itu akan diadakan dalam masa terdekat.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR