BALIK PULAU : Jalan Tun Sardon atau Jalan Negeri P14 di sini terpaksa ditutup selama dua hari bermula pukul 6 petang tadi susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku hari ini.
Menurut Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang, penutupan itu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan jalan dan lain-lain kerja berkaitan oleh kontraktor yang terlibat.
Sehubungan itu, jabatan tersebut menasihatkan agar pengguna jalan raya menggunakan laluan alternatif dan merancang perjalanan dengan sebaiknya.
Terdahulu, satu kejadian tanah runtuh dilapor berlaku di situ iaitu berhampiran kawasan bukit Anjung Indah. Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, John Sagun Francis berkata, panggilan kecemasan mengenai kejadian it diterima kira-kira pukul 4.56 petang.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau kemudian dikerah ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja pembersihan awal termasuk pengalihan pokok-pokok yang tumbang merintangi jalan berkenaan.
“Keadaan buat masa ini masih terkawal dan kawasan tersebut telah diserahkan kepada JKR dan pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya yang turut mengingatkan orang ramai agar berhati-hati ketika melalui laluan berbukit terutamanya ketika musim hujan bagi mengelakkan terperangkap dengan kejadian tanah runtuh.-UTUSAN