Tanda haji mabrur bukan pada gelaran, tetapi tiga perubahan ini

Tanda haji mabrur bukan pada gelaran, tetapi tiga perubahan ini


UNGKAPAN haji mabrur sering meniti pada bibir jemaah mahupun sanak saudara atau kenalan yang mengiringi mereka ke Tanah Suci.

Itulah yang menjadi harapan mereka sepanjang menjalani ibadah Rukun Islam kelima itu.

Pun demikian, ia bukan sekadar lafaz atau gelaran manis semata-mata, sebaliknya haji mabrur itu merupakan satu bentuk perubahan akhlak dan jiwa yang dapat dilihat dengan jelas sekembalinya seseorang dari Tanah Haram.

Menerusi program Arafah #QuranHour yang diadakan di Surau Abraj Janadriyah, Makkah pada Isnin, Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci (PIHTAS), Dr Muhd Najib Abdul Kadir menjelaskan, haji mabrur mempunyai tanda-tanda yang sangat praktikal sebagaimana disebutkan oleh Rasulullah SAW.

DR MUHD NAJIB

Terdapat tiga ciri-ciri haji mabrur sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah SAW menerusi beberapa riwayat yang masyhur iaitu:

1. Percakapan yang sopan dan menenangkan

Dr Muhd Najib menjelaskan, tanda pertama haji mabrur ialah perubahan dalam pertuturan. Jika dahulu seseorang bercakap kasar, meninggi suara atau bermulut lancang terhadap orang lain, namun selepas menunaikan haji, dia menjadi insan yang menenangkan melalui kata-katanya.

2. Memberi salam dan menghubungkan silaturahim

Satu lagi ciri haji mabrur ialah keupayaan seseorang untuk mempererat hubungan sesama insan. Bukan sekadar memberi salam, tetapi juga membuang rasa permusuhan dan menanam benih persaudaraan.

ANTARA ciri haji mabrur ialah keupayaan seseorang untuk mempererat hubungan sesama insan. Bukan sekadar memberi salam, tetapi juga membuang rasa permusuhan dan menanam benih persaudaraan. -Foto: CANVA

ANTARA ciri haji mabrur ialah keupayaan seseorang untuk mempererat hubungan sesama insan. Bukan sekadar memberi salam, tetapi juga membuang rasa permusuhan dan menanam benih persaudaraan. -Foto: CANVA

Dr Muhd Najib menjelaskan, haji sepatutnya membuka ruang ukhuwah, bukan menjadikan seseorang semakin menjauh daripada masyarakat.

“Kita duduk duduk dalam satu bilik atau satu bangunan, semua ini kawan-kawan ini. Jadi hubungkanlah silaturahim. Selepas balik haji ini, ada alumni pula untuk (sambung silaturahim),” sarannya.

3. Memberi makan dan suka membantu

Ujar Dr Muhd Najib, sikap ringan tulang dan keprihatinan terhadap kesusahan orang lain juga mencerminkan kemabruran haji seseorang.

IBADAH haji sepatutnya membuka ruang ukhuwah, bukan menjadikan seseorang semakin menjauh daripada masyarakat. -Foto: CANVA

IBADAH haji sepatutnya membuka ruang ukhuwah, bukan menjadikan seseorang semakin menjauh daripada masyarakat. -Foto: CANVA

Hidupkan hati dengan zikrullah

Dalam pada itu, pembimbing haji itu turut mengingatkan, untuk kekal dalam keadaan mabrur, jiwa perlu disucikan secara berterusan dengan zikrullah.

“(Bayangkan) makanan (kita) nak yang lazat-lazat, tetapi zikir tak nak. Sebenarnya hati kita dah jadi apa? Jadi bangkai bernyawa sebab kita hanya makan saja, tapi roh, kita tak bagi dia makan pun,” katanya.

Beliau kemudian berkongsi tujuh zikir yang diamalkan secara istiqamah setiap hari yang boleh menjadi ‘makanan’ kepada roh manusia.

Antara tujuh zikir harian yang dikongsikan beliau ialah:

UNTUK kekal dalam keadaan mabrur, jiwa perlu disucikan secara berterusan dengan zikrullah. -Foto: CANVA

UNTUK kekal dalam keadaan mabrur, jiwa perlu disucikan secara berterusan dengan zikrullah. -Foto: CANVA

1. Istighfar – Astaghfirullahal ‘azim atau mana-mana bentuk istighfar.

2. Selawat ke atas Rasulullah SAW – Contohnya Allahumma salli ‘ala Muhammad.

3. Ya zaljalali wal Ikram.

4. La haula wala quwwata illa billahil aliyyil azim.

5. La ilaha illa anta subhanaka inni kuntu minaz zalimin.

6. Subhanallah walhamdulillah, wala ilaha illallah Allahu Akbar, wala haula wala quwwata illa billahil aliyyil azim.

7. Subhanallah wabihamdihi, subhanallahil ‘azim astaghfiruka.

Menyentuh mengenai kemuncak ibadah haji iaitu wukuf di Arafah, Dr Muhd Najib menjelaskan, jemaah hanya mempunyai lebih kurang 300 minit yang sangat berharga untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

“Kita nak guna waktu 300 minit itu seumur hidup kita. Alangkah ruginya kalau kita di padang Arafah, tetapi sibuk sembang.

“Jadi gunakanlah waktu itu untuk kita memperbanyakkan zikir dan tasbih,” sarannya.



Source link

OR

Scroll to Top