Tandatangan Trump bakal ada pada wang kertas AS

Tandatangan Trump bakal ada pada wang kertas AS


WASHINGTON: Mata wang kertas Amerika Syarikat (AS) tidak lama lagi akan menampilkan tandatangan Presidennya, Donald Trump, menurut pengumuman Jabatan Perbendaharaan pada Khamis,.

Ia merupakan satu langkah yang akan menjadi yang pertama bagi seorang presiden Amerika yang sedang berkhidmat dan bertepatan dengan ulang tahun ke-250 negara itu.

Berdasarkan sejarah, tandatangan pada wang kertas dolar adalah milik Bendahari Amerika AS dan Setiausaha Perbendaharaan Amerika. 

Namun, wang kertas baru yang akan dikeluarkan akan menampilkan tandatangan Trump dan Setiausaha Perbendaharaan semasa, Scott Bessent.

“Menerusi kepimpinan Presiden Trump, kami berada di jalan menuju pertumbuhan ekonomi yang tiada tandingan, dominasi dolar yang berpanjangan dan  kekuatan serta  kestabilan fiskal,” kata Bessent dalam kenyataan mengumumkan keputusan itu.

“Tiada cara yang lebih berkuasa untuk mengiktiraf pencapaian bersejarah negara kita dan Presiden Donald J. Trump selain wang kertas dolar AS yang menampilkan namanya dan adalah wajar bahawa mata wang bersejarah ini diterbitkan sempena 250 tahun,” tambahnya.

Langkah ini merupakan usaha terbaru Trump untuk mengatasi amalan lama dan menandakan pengaruhnya pada mata wang Amerika.

Minggu lalu, sebuah jawatankuasa penasihat yang dipilih sendiri oleh Trump meluluskan reka bentuk syiling emas peringatan yang menampilkan imejnya juga bertujuan untuk menandakan ulang tahun ke-250 penubuhan AS pada 4 Julai 1776.

Syiling itu tidak mempunyai nilai wang rasmi dan harga jualannya belum didedahkan, tetapi syiling peringatan serupa yang dijual oleh Biro Jabatan Perbendaharan AS, US Mint boleh berharga lebih daripada AS$1,000 (RM4,005).

Langkah menampilkan wajah Trump pada syiling  bercanggah dengan undang-undang persekutuan yang menyatakan tiada presiden masih hidup boleh muncul pada mata wang AS.

Ia mencetuskan kritikan oleh pihak  parti Demokrat.

Namun, Trump terus meneruskan reka bentuk kontroversi lain, termasuk satu syiling AS$1 (RM4) yang menampilkan wajahnya yang akan dimasukkan sementara ke dalam edaran sempena  menyambut ulang tahun ke-250 negara itu. – AFP

 





Source link

OR

Scroll to Top