Tang Jie-Ee Wei dikejutkan pasangan kurang ternama

Tang Jie-Ee Wei dikejutkan pasangan kurang ternama

Tang Jie-Ee Wei dikejutkan pasangan kurang ternama


PETALING JAYA: Wakil negara bermula dengan langkah kiri selepas tiga beregu campuran Malaysia yang diketuai Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tersingkir seawal pusingan pertama pada Kejohanan Badminton All England di Birmingham, England, hari ini.

Gandingan No. 4 dunia itu dikejutkan pasangan kurang ternama yang menghuni ranking ke-34 dunia, Rasmus Espersen-Amalie Cecilie Kudsk dari Denmark 21-18, 12-21, 23-25 dalam masa 1 jam 2 minit.

Kedua-dua beregu yang tidak pernah bertemu dalam mana-mana kejohanan antarabangsa, meletakkan Espersen-Kusdk kini mendahului pasangan juara dunia itu dengan rekod pertemuan 1-0.

Turut ditimpa malang adalah beregu No. 23 dunia, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang tunduk di tangan gandingan ke-21 dunia, Druv Kapila-Tanisha Crasto dari India 17-21, 19-21 dalam masa 41 minit.

Kekalahan menimpa Pang Ron-Su Yin menyaksikan rekod pertemuan mereka kini ketinggalan 1-2 di belakang Kapila-Crasto.

Satu lagi beregu campuran Malaysia, Jimmy Wong-Lai Pei Jing pula tewas kepada Ye Hong Wei-Nicole Gonzales Chan dari Taiwan 17-21, 18-21 dalam masa 36 minit.

Jimmy-Pei Jing yang merupakan beregu ke-24 dunia belum pernah mengalahkan Hong Wei-Nicole dengan dua kekalahan berturut-turut menimpa gandingan profesional negara itu.

Kini hanya tinggal pasangan No. 11 dunia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai menjadi wakil tunggal Malaysia dalam sektor beregu campuran.

Pasangan suami isteri itu hanya akan membuka aksi mereka, esok, menentang beregu tuan rumah, Callum Hemming-Estelle Van Leeuwen yang berada di tangga ke-39 dunia.

Berdasarkan rekod pertemuan, Soon Huat-Shevon belum pernah bertemu Hemming-Van Leeuwen dan mereka harus berhati-hati agar tidak menjadi mangsa kejutan seperti mana yang menimpa Tang Jie-Ee Wei. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top