Ee Wei (kiri) dan Tang Jie akan berdepan pasangan China dalam saingan akhir Kejohanan Dunia di Paris pada Ahad. Foto AFP
PARA peminat badminton tanah air berpeluang menyaksikan dua pasangan negara beraksi di pentas final Kejohanan Dunia 2025 di Perancis dan lebih manis saingan tersebut bakal berlangsung sempena Hari Kebangsaan negara ke-68 pada Ahad.
Khabar gembira itu hadir setelah beregu campuran, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei mengikut jejak langkah beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah yang terlebih dahulu menempah slot ke perlawanan akhir.
Tang Jie-Ee Wei yang berstatus keempat dunia mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan pasangan tuan rumah, Thom Gicquel-Delphine Delrue dalam saingan separuh akhir sebentar tadi.
Dalam aksi di Adidas Arena, Paris itu, pasangan negara bermula dengan langkah kanan menerusi dominasi baik di gelanggang untuk menang 21-18.
Gegak gempita penyokong tuan rumah bukan halangan buat Tang Jie-Ee Wei apabila mengesahkan tiket ke final menerusi kemenangan 21-16 dalam tempoh 53 minit permainan.
Menerusi keputusan tersebut menyaksikan mereka melebarkan kemenangan ke atas pasangan Perancis yang berkedudukan kelapan dunia kepada 4-2.
Tang Jie-Ee Wei bakal membuat perhitungan dengan pasangan nombor dua dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin yang mengalahkan rakan senegara dalam satu lagi aksi separuh akhir, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui, 11-21, 23-21, 21-18.
Terdahulu, Pearly-Thinaah mara ke saingan akhir selepas menumpaskan pasangan Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida 14-21, 21-13, 21-12.
Sebagai rekod, kilauan pingat terakhir diraih beregu campuran negara menerusi Koo Kien Keat–Wong Pei Tty yang membawa pulang gangsa dari Madrid pada 2006.