Ee Wei – Tang Jie cipta sensasi buat kem beregu negara di Paris 2025.
BEREGU badminton campuran negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei mencipta sejarah tersendiri apabila memastikan pingat sulung buat Malaysia di Kejohanan Dunia selepas mara ke separuh akhir di Adidas Arena, Paris pada Jumaat.
Pasangan ranking keempat dunia itu tampil bergaya apabila menewaskan wakil India, Dhruv Kapila–Tanisha Crasto, straight set 21-15, 21-13 dalam tempoh hanya 37 minit.
Kemenangan itu juga mengulangi kejayaan mereka menundukkan gandingan sama di Indonesia Masters, Jun lalu yang sebelum ini mengejutkan beregu nombor lima dunia dari Hong Kong, Tang Chun Man–Tse Ying Suet dalam pusingan 16.
Tang Jie–Ee Wei yang mara ke suku akhir pada penampilan sulung tahun lalu kini akan pulang sekurang-kurangnya selaku pemenang pingat.
Kilauan pingat kali terakhir diraih beregu campuran negara menerusi Koo Kien Keat–Wong Pei Tty yang membawa pulang gangsa di Madrid pada 2006.
Sementara itu, cabaran satu lagi pasangan negara Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin berakhir setelah tewas kepada wakil China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, 23-25, 15-21 dalam masa 41 minit.






