Tang Jie-Ee Wei perlu baiki komunikasi

Tang Jie-Ee Wei perlu baiki komunikasi


Ee Wei (kiri) dan Tang Jie akan mengharungi dua kejohanan utama pada pertengahan bulan ini.

JURULATIH beregu campuran negara, Nova Widianto meluahkan rasa bimbang mengenai komunikasi Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang masih belum ‘mesra’ selepas mereka kembali bersatu Mei lalu.

Beliau berkata, biarpun pasangan nombor empat dunia itu memiliki corak permainan yang baik dan mampu menandingi gandingan terbaik dunia, namun tahap komunikasi sesama mereka perlu dipertingkatkan lagi.

Penambahbaikan tersebut perlu dilakukan segera menjelang Terbuka Jepun bermula 15 hingga 20 Julai dan Terbuka China (22 hingga 27 Julai) sebelum Kejohanan Dunia di Paris pada Ogos.

“Dua kejohanan utama itu penting sebelum Kejohanan Dunia. Saya harap mereka dapat memenangi sekurang-kurangnya satu gelaran untuk membina momentum.

“Saya memberi tumpuan kepada aspek bukan teknikal iaitu komunikasi mereka kerana ia adalah isu sebelum ini,” kata Nova.

Tang Jie-Ee Wei dipisahkan sementara pada Mac lalu kerana isu komunikasi, namun kembali bersatu selepas dua bulan.

Mereka memulakan musim ini dengan baik apabila mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia dan Terbuka India.

Namun kekalahan pada pusingan pertama Seluruh England Mac lalu

menyebabkan mereka dipisahkan sebelum bersatu semula untuk Terbuka Singapura Mei lalu.

Nova mengakui bahawa harapan tinggi diletakkan ke atas Tang Jie-Ee Wei untuk melakar keputusan lebih baik pada dua kejohanan tersebut.

“Beregu campuran adalah satu-satunya disiplin beregu yang tiada gelaran tahun ini. Itu sepatutnya membuat mereka lebih bertekad untuk memenangi gelaran.

“Jika mereka berkomunikasi dan menguruskan aspek bukan teknikal dengan baik, saya percaya mereka mampu pergi lebih jauh,” katanya.

 



Source link

OR

Scroll to Top