Tang Jie (kiri) dan Ee Wei akan membuat penampilan kedua pada Kejohanan Dunia di Paris akhir bulan ini. Foto Agensi.
KETUA jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto mahu Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menampilkan watak lebih mantap dan matang andai mahu meraih gelaran pada Kejohanan Badminton Dunia di Paris akhir bulan ini.
Beliau berkata, prestasi tahun ini agak merosot berbanding musim lalu kerana mereka masih belum menjuarai sebarang kejohanan meskipun peluang lebih terbuka.
Menurutnya, masalah teknikal bukan penghalang utama, sebaliknya kedua-dua pemain gagal mengatasi tekanan apabila permainan tidak berada pada tahap terbaik.
“Mental mereka kurang kental. Karakter juga kurang. Mereka harus meningkatkan (karakter) untuk mahu menjadi juara, apatah lagi dalam kejohanan besar.
“Dalam senarai empat pasangan terbaik, yang membezakan mereka hanya pada karakter. Mereka (pasangan lain) sangat kuat untuk juara.
“Bukan Tang Jie-Ee Wei tak boleh juara juara tetapi masanya belum sampai,” katanya.
Jurulatih kelahiran Indonesia itu mahu mereka segera memperagakan karakter mantap ketika berdepan detik sukar kerana pemain bertaraf dunia juga tidak sentiasa berada pada prestasi puncak.
Menyentuh peluang di Paris, Nova meletakkan sasaran sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir memandangkan mereka mendapat laluan lebih baik hasil status selaku pilihan keempat.
“Kalau lihat status pilihan keempat mereka seharusnya minimum mendapat medal iaitu mara ke separuh akhir. Mudah-mudahan nasib (baik) kita di Kejohanan Dunia ini,” katanya.
Sebagai rekod, ia merupakan kali kedua mereka ke Kejohanan Dunia dengan edisi 2023 lalu, pasangan nombor empat dunia itu mara ke separuh akhir di Denmark.






