Tang Jie-Wen Tse tinggal harapan negara di Terbuka Taiwan

Tang Jie-Wen Tse tinggal harapan negara di Terbuka Taiwan


PETALING JAYA: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Chan Wen Tse terus membawa harapan negara apabila melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan selepas menewaskan gandingan Indonesia, Bobby Setiabudi-Melati Daeva Oktavianti 22-20, 21-10 di Arena Taipei, hari ini.

Pasangan yang baru digandingkan itu mempamerkan persefahaman luar biasa walaupun ini merupakan kejohanan sulung mereka, sekali gus memastikan kemenangan dalam tempoh hanya 28 minit dengan corak permainan kemas dan taktikal yang meyakinkan.

Tang Jie-Wen Tse yang berada dalam prestasi terbaik dijadualkan menentang satu lagi pasangan Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu pada aksi separuh akhir esok selepas lawan mereka menyingkirkan wakil tuan rumah, Ye Hong Wei-Nicole Chan 21-16, 21-16.

Sementara itu, tiga lagi wakil negara termasuk perseorangan lelaki, Justin Hoh; perseorangan wanita, K. Letshanaa; dan beregu campuran, Loo Bing Kun-Toh Ee Wei gagal melepasi halangan suku akhir selepas tewas kepada lawan masing-masing.

Justin yang sebelum ini menunjukkan kemajuan terpaksa akur kepada pemain tuan rumah, Wang Tzu Wei yang lebih berpengalaman apabila tewas dalam straight set 13-21, 15-21 tanpa mampu memberi saingan seimbang sepanjang perlawanan.

Letshanaa pula hampir mencipta kejutan apabila berjaya memaksa perlawanan ke set penentuan menentang pilihan kedua dari Korea Selatan, Sim Yu Jin, namun akhirnya terpaksa tunduk 16-21, 21-13, 15-21 dalam pertarungan selama hampir satu jam.

Nasib sama menimpa Bing Kun-Ee Wei yang bermula garang dengan kemenangan set pertama 22-20 ke atas pasangan Indonesia, Dejan Ferdinansyah-Siti Fadia Silva Ramadhanti tetapi akhirnya tewas dalam dua set berikutnya 17-21, 12-21 selepas gagal mengekalkan momentum.

Kini, harapan negara untuk menjulang kejuaraan di Taiwan hanya bergantung kepada kebangkitan luar biasa Tang Jie-Wen Tse yang dijangka mengharungi aksi getir menentang Jafar-Felisha esok dalam misi mara ke final pertama mereka sebagai gandingan baharu negara. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top