KEBELAKANGAN ini, masyarakat dikejutkan dengan beberapa isu yang mencetuskan kebimbangan serius termasuk serbuan terhadap pusat sauna dan spa khusus lelaki yang mengakibatkan penahanan lebih 200 individu serta penyebaran kandungan media yang secara halus menormalisasikan gaya hidup songsang yang bercanggah dengan nilai agama.
Perkembangan ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia menyentuh aspek akhlak, keselamatan sosial dan juga kesihatan awam negara.
Dalam Islam, penjagaan maruah, akhlak dan struktur keluarga merupakan antara asas penting pembinaan masyarakat sejahtera.
Perbuatan yang melanggar fitrah bukan sahaja ditegah syarak, malah terbukti dalam kajian moden memberi impak buruk terhadap kesihatan mental dan fizikal.
Peningkatan jangkitan HIV (human immunodeficiency virus) dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan sejenis (MSM) adalah antara contoh akibat nyata gaya hidup berisiko.
Perbetul tingkah laku, perkukuh nilai
Data terkini Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan lebih 95 peratus jangkitan HIV baharu datang daripada hubungan seks sejenis dalam kalangan lelaki berisiko tinggi.
Ini bukan sekadar angka statistik, tetapi gambaran jelas bahawa penyelesaian tidak boleh hanya tertumpu kepada rawatan atau ubat pencegahan, sebaliknya memerlukan pembetulan tingkah laku dan pengukuhan nilai.
Ubat pencegahan HIV seperti Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) terbukti berkesan secara klinikal.
Namun, dari sudut ekonomi kesihatan, keberkesanan klinikal tidak semestinya bermakna keberkesanan kos di peringkat populasi sekiranya tingkah laku berisiko terus meningkat.
MEDIA turut berperanan dalam membendung dan mencegah gejala songsang. Foto Canva
Pada tahun 2025 sahaja, kerajaan telah memperuntukkan RM1.4 juta untuk program PrEP dan jumlah ini dijangka terus meningkat selari dengan permintaan.
Pelaburan ini perlu dinilai secara teliti agar dana negara dimanfaatkan sebaiknya. Dalam bidang kesihatan awam, mana-mana intervensi hanya berkesan jika mampu menangani punca risiko.
PrEP tidak mencegah aktiviti seksual berisiko, tidak membendung penyebaran penyakit kelamin lain seperti sifilis, gonorea dan human papillomavirus (HPV) serta tidak mengurangkan pergaulan bebas.
Maka, tanpa kawalan sosial yang jelas, kesedaran akhlak dan penguatkuasaan undang-undang, pelaburan besar ini mungkin tidak membawa nilai pulangan yang diharapkan.
Di sinilah pentingnya pendekatan menyeluruh yang menggabungkan pendidikan agama, pembentukan akhlak, penguatkuasaan peraturan serta kawalan kandungan media.
Pencegahan berasaskan agama dan moral termasuk penekanan kepada penjagaan diri, menjauhi perbuatan maksiat dan pengukuhan institusi keluarga telah lama menjadi benteng utama masyarakat Islam.
Dalam konteks hari ini, pendidikan agama bukan sekadar mengajar hukum, tetapi membentuk kefahaman mendalam tentang hikmah di sebalik larangan ALLAH SWT.
Gaya hidup songsang tidak membawa kepada ketenangan jiwa, sebaliknya membuka pintu kepada pelbagai kerosakan sosial.
Oleh itu, usaha membina kefahaman agama yang kukuh adalah penting dalam membendung pengaruh luar yang semakin agresif.
Media alat pendidikan, kawal kandungan
Dalam masa yang sama, media turut memainkan peranan besar dalam membentuk persepsi masyarakat.
Penyiaran kandungan yang menggambarkan hubungan sejenis sebagai normal, moden atau tidak berbahaya adalah satu bentuk normalisasi halus yang boleh mengelirukan generasi muda.

ISLAM telah menyediakan panduan dan batasan walaupun sesama jantina agar tidak terjerumus kepada cinta sejenis seperti umat Nabi Lut AS. Foto CANVA
Media seharusnya menjadi alat pendidikan, bukan platform mempromosikan gaya hidup yang bercanggah dengan ajaran agama dan nilai masyarakat Malaysia.
Justeru, kawal selia kandungan media perlu diperkukuh dengan lebih tegas terutama bagi melindungi fikiran generasi muda yang mudah terpengaruh.
Di peringkat masyarakat, pendekatan pencegahan memerlukan kerjasama semua pihak. Institusi agama, keluarga, pendidik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti perlu memainkan peranan menyampaikan mesej yang jelas tentang risiko moral dan kesihatan yang timbul daripada tingkah laku songsang.
Program kesedaran, bimbingan kerohanian serta sokongan psikososial kepada mereka yang terjebak hendaklah dilaksanakan secara hikmah dan penuh kasih sayang.
Pendekatan agama yang berhikmah dan berstruktur menjadi benteng terbaik untuk mencegah masyarakat daripada terjerumus dalam tingkah laku berbahaya dari sudut agama dan kesihatan.
Akhirnya, usaha membendung gejala ini bukan semata-mata tentang penguatkuasaan, tetapi mengenai pemulihan akhlak dan pengembalian manusia kepada fitrah.

LEBIH 95 peratus jangkitan HIV baharu datang daripada hubungan seks sejenis dalam kalangan lelaki berisiko tinggi.Foto CANVA
Dalam sebuah masyarakat yang semakin terbuka dan mudah terpengaruh, benteng terbaik tetaplah iman, ilmu dan akhlak.
Dengan memperkukuh tiga elemen ini, kita mampu membina masyarakat yang lebih sejahtera dan terlindung daripada kerosakan moral.
Sebuah masyarakat yang mantap bermula dengan individu yang memelihara akhlak, keluarga yang menjaga nilai dan negara yang memastikan setiap dasar menepati maqasid syariah serta melindungi kesejahteraan rakyat.
***Penulis, PROF MADYA DR ABDUL RAHMAN RAMDZAN merupakan Pensyarah Kanan Perubatan dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sabah.
Ringkasan AI
- Masyarakat dikejutkan dengan isu serbuan pada pusat sauna untuk lelaki dan penyebaran kandungan media yang menormalisasikan gaya hidup songsang
- Islam memandang serius penjagaan maruah, akhlak dan keluarga sebagai asas masyarakat sejahtera
- Peningkatan HIV dalam kalangan lelaki gay menunjukkan bahaya tingkah laku berisiko
- Program PrEP walaupun efektif, tidak menyelesaikan masalah jika tingkah laku berisiko tidak dibetulkan
- Pendidikan agama, kawalan media, dan pendekatan kesedaran moral diperlukan untuk menangani pengaruh gaya hidup songsang






