Tangguh dulu Pindaan Perlembagaan Kewarganegaraan – Amira

Tangguh dulu Pindaan Perlembagaan Kewarganegaraan – Amira


KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) memohon kerajaan agar menangguhkan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (pindaan 2024) membabitkan kewarganegaraan.

Pemangku Presiden MUDA, Amira Aisyah Abdul Aziz pula berkata, pindaan yang ingin dibawa kerajaan adalah satu pindaan regresif.

“Sekiranya pindaan ini diluluskan maka semua ahli Parlimen kerajaan yang sama-sama meluluskan pindaan ini regresif dan tidak membawa isu ini dengan cara yang adil.

“Kerajaan tidak boleh menggunakan ibu-ibu yang memperjuangkan hak kewarganegaraan anak-anak mereka yang lahir di luar negara sebagai tebusan mereka,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini. 

Hadir sama adalah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Amira Aisyah turut berkata, MUDA mendesak agar kerajaan untuk mengkaji semula pindaan RUU berkenaan dan bukan bersandarkan kepada fakta yang tidak kukuh semata-mata.

“Dengan mengatakan pindaan RUU ini dibuat bagi mengelak kahwin kontrak dan sebagainya adalah alasan yang cukup tidak munasabah, tiada ada data yang menunjukkan mereka kahwin ini untuk mendapatkan kewarganegaraan,” katanya lagi.

Seorang lagi ahli MUDA, Siti Rahayu Baharin pula menegaskan, pihaknya bimbang akan status anak kepada rakyat berstatus penduduk tetap (PR).

“Kita ada banyak kes di mana pemegang PR taraf warganegara dan dia adalah Malaysia, kalau dibuang status PR mereka, apa akan terjadi.

“Ia akan membawa kepada risiko rakyat tidak bernegara secara bergenerasi, ini yang MUDA risau. Apabila kerajaan nak turunkan had umur daripada 21 untuk permohonan Perkara 15 A, maka anak yang dilahirkan tidak mendapat kewarganegaraan,” katanya dalam sidang media sama. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini berkata, pindaan terhadap RUU Perlembangaan (pindaan 2024) akan menjadi tumpuan utama untuk dibahas dan diputuskan dalam sidang Dewan Rakyat kali ini.

Saifuddin berkata, tumpuan akan diberikan dalam usaha bagi membolehkan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara hasil perkahwinan wanita tempatan dengan lelaki warga asing mendapatkan taraf kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang atau secara automatik.

Disember tahun lalu, dilaporkan Jabatan Peguam Negara sedang merangka draf cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara hasil perkahwinan wanita rakyat tempatan dengan lelaki warga asing.

Draf tersebut dibuat bagi meminda Perkara 14(1)(b) untuk memasukkan perkataan ibu dengan tujuan membolehkan kewarganegaraan anak diperoleh secara kuat kuasa undang-undang biar pun hanya ibu yang mempunyai kewarganegaraan Malaysia. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top