Pertahanan Palestin cuba mentmengrkang asakan daripada pemain Harimau Malaya, Arif Aiman Mohd Hanapi. – Foto: FB FAM
KEHILANGAN beberapa pemain utama bukanlah faktor utama yang menyumbang kepada kekalahan 0-1 skuad Palestin kepada Harimau Malaya dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.
Menurut pengendali Palestin, Ihab Abujazar, pemain-pemain tersebut juga tidak beraksi dalam beberapa perlawanan sebelum ini, justeru ketiadaan mereka tidak memberi kesan besar terhadap persiapan pasukan.
“Tanpa mereka, persiapan kami tidak terjejas. Lagi pun, mereka turut tidak beraksi dalam beberapa perlawanan terdahulu.
“Apa pun, tahniah kepada pasukan Malaysia yang saya lihat telah banyak menunjukkan peningkatan dan kini menjadi antara pasukan yang kuat,” katanya pada sidang akhbar sejurus tamat perlawanan.
Sementara itu, kehadiran ramai pemain warisan dan pemain naturalisasi dalam skuad Harimau Malaya turut tidak mempunyai kaitan dengan keputusan perlawanan.
Malah, katanya, kesemua pemain terbabit merupakan ‘pemain Malaysia’ dan telah beraksi dengan baik sepanjang perlawanan.
“Kehadiran mereka tidak ada kaitan dengan keputusan perlawanan. Seperti yang saya pernah katakan sebelum ini, mereka adalah pemain Malaysia.
“Tetapi saya perlu berikan pujian kepada pemain saya kerana dalam tempoh 20 minit terakhir, kami mampu memberikan tekanan hebat kepada mereka,” katanya.