Skuad Harimau Malaya menang dengan keputusan 4-0 ketika menentang pasukan Vietnam pada perlawanan kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto Bernama
PRESIDEN Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar menyifatkan kejayaan Harimau Malaya menewaskan Vietnam dan mengikat Cape Verde sebagai bukti kebangkitan bola sepak negara hasil sentuhan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Menurutnya, kejayaan skuad negara menewaskan Vietnam iaitu pasukan yang gagal ditewaskan sejak 11 tahun lalu tidak akan menjadi kenyataan tanpa campur tangan dan usaha berterusan baginda yang juga penggerak utama revolusi Harimau Malaya.
“Saya pernah katakan sebelum ini, cuba bayangkan jika Tunku Ismail tidak membantu dalam bola sepak negara. Apa akan jadi kepada masa depan pasukan, tetapi ramai pulak yang menuduh saya memberi kenyataan tidak tepat.
“Sekarang kita dapat saksikan, apa yang diusahakan Tunku Ismail dengan merevolusikan pasukan dengan membawa masuk kepakaran dan pemain warisan luar sudah berhasil.
“Kita perlu akui tanpa bantuan dan usaha ikhlas Tunku Ismail mungkin sukar untuk kita berubah, apatah lagi untuk menewaskan Vietnam yang sudah 11 tahun kita tak pernah menang dengan mereka.
“Saya fikir ini adalah titik permulaan kepada kebangkitan bola sepak negara dan kita seharusnya sama-sama menyokong usaha ini,” katanya.
Skuad Harimau Malaya yang dikendalikan oleh Peter Cklamovski mencuri tumpuan apabila membenam pasukan Naga Emas dengan kemenangan bergaya 4-0 dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa.
Kemasukan lima pemain warisan baharu jelas membawa dimensi berbeza dalam taktikal pasukan negara, memberikan suntikan semangat dan memperkukuh persembahan mereka di atas padang.
Keempat-empat jaringan Malaysia hadir dalam separuh masa kedua menerusi sentuhan Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, Corbin Ong dan Dion Cools.
Kemenangan ini juga mengukuhkan kedudukan Malaysia di puncak Kumpulan F selepas turut mencatat kemenangan 2-0 ke atas Nepal pada Mac lalu, sekali gus mengumpul enam mata penuh.
Sementara itu, Syed Yazid menyatakan sokongan padu beliau bersama para penyokong bola sepak Kuala Lumpur terhadap usaha Tunku Ismail dalam mengangkat martabat bola sepak negara ke peringkat antarabangsa.