Tapir betina 300 kilogram mati dirempuh kenderaan di Dungun

Tapir betina 300 kilogram mati dirempuh kenderaan di Dungun


DUNGUN : Seekor tapir betina dewasa ditemukan mati dengan kecederaan di bahagian kepala, dipercayai dilanggar kenderaan di jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhampiran persimpangan Kampung Durian Mentangau, di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, bangkai hidupan liar yang dianggarkan seberat 300 kilogram itu ditemukan pengguna jalan raya yang melalui jalan tersebut.

“Kita menerima laporan kira-kira pukul 10 pagi dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat kecederaan di bahagian kepalanya. Tapir ini mungkin keluar dari hutan simpan berhampiran sebelum dirempuh kenderaan,” katanya ketika dihubungi.

Kean Seong berkata, tiga anggota Perhilitan daerah Dungun kemudiannya mengambil bangkai tapir itu untuk tindakan selanjutnya.

“Kita minta pengguna jalan raya lebih berhati-hati terutama di kawasan yang mempunyai hutan simpan. Agak sayang kerana tapir ini telah dewasa dan mati begitu,” katanya. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top