Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Selasa berkata, beliau mencapai pakatan perdagangan dengan Indonesia yang akan menyaksikan komitmen pembelian yang ketara dari negara Asia Tenggara itu, berikutan rundingan untuk mengelak tarif yang lebih tinggi.
Barangan Indonesia yang memasuki AS akan dikenakan tarif 19 peratus, kata Trump dalam satu catatan di platform Truth Socialnya. Ini jauh di bawah paras 32 peratus yang dinyatakan presiden sebelum ini.
“Sebagai sebahagian daripada perjanjian, Indonesia komited untuk membeli AS$15 bilion dolar dalam (sektor) tenaga AS, AS$4.5 bilion dolar dalam produk pertanian Amerika, dan 50 jet Boeing, kebanyakannya 777,” tulis Trump.
Saham Boeing ditutup turun 0.2 peratus selepas pengumuman itu.
Pentadbiran Trump berada di bawah tekanan untuk memuktamadkan pakatan perdagangan, ketika negara-negara berunding dengan Washington untuk mengelakkan rancangan tarif presiden AS.
Tetapi Trump setakat ini hanya mendedahkan perjanjian lain dengan Britain dan Vietnam, di samping perjanjian untuk menurunkan sementara levi dengan China.
Minggu lalu, Trump memperbaharui ancaman levi 32 peratus ke atas barangan Indonesia, dengan menyatakan dalam surat kepada kepimpinan negara bahawa ini akan berkuat kuasa 1 Ogos.
Masih tidak jelas bila tahap tarif rendah yang diumumkan Selasa akan berkuat kuasa untuk Indonesia.
Tempoh untuk pelbagai pembelian dilakukan oleh Indonesia juga tidak dinyatakan.
Trump menerusi media sosialnya berkata, di bawah perjanjian itu, yang dimuktamadkan selepas beliau bercakap dengan Presiden Indonesia Prabowo Subianto, barangan yang dipindahkan untuk mengelakkan duti yang lebih tinggi akan menghadapi levi yang lebih tinggi.
Beliau secara berasingan memberitahu pemberita bahawa perjanjian lain sedang dalam rangka kerja, termasuk dengan India, sementara perbincangan dengan Kesatuan Eropah (EU) diteruskan.
Trump pada April mengenakan tarif 10 peratus ke atas hampir semua rakan dagangan, sambil mengumumkan rancangan untuk akhirnya menaikkan tahap ini untuk berpuluh-puluh ekonomi, termasuk EU dan Indonesia.
Tetapi beberapa hari sebelum ia dijangka berkuat kuasa, beliau menunda tarikh akhir untuk tarif itu dikuatkuasakan, dari 9 Julai hingga 1 Ogos. Ini menandakan penangguhan kedua untuk levi itu.
Sejak awal minggu lalu, Trump menghantar surat kepada negara rakan dagangnya, menetapkan tahap tarif yang akan mereka hadapi pada bulan Ogos.
Setakat ini, beliau menghantar lebih 20 surat seperti itu termasuk kepada EU, Jepun, Korea Selatan dan Malaysia.
Kanada dan Mexico, kedua-dua negara yang pada asalnya tidak disasarkan dalam tarif “timbal balik” Trump pada bulan April, juga menerima dokumen serupa yang menggariskan tarif dikemas kini untuk produk mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd