Laporan Sukan Sinar pada Khamis. (Gambar kecil: Mohammed Suffian)
KETUA Pegawai Eksekutif Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang menyambut baik keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengubah tarikh perlawanan akhir Piala Malaysia yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 April.
Malah, Mohammed Suffian menyifatkan pindaan tarikh itu dapat memberi ruang kepada penyokong-penyokong merancang perjalanan lebih baik untuk menyaksikan perlawanan berprestasi tinggi kedua pasukan.
Menurutnya, ini berikutan tarikh asal pada 12 April dilihat masih di awal tempoh perayaan dan enggan melihat penyokong-penyokong menghadapi kekangan untuk hadir ke stadium nanti.
“Bagi Sri Pahang, kita memahami dengan musim perayaan sekarang dan tidak mahu penyokong-penyokong berdepan dengan sebarang masalah nanti di awal perayaan untuk merancang perjalanan mereka, nak beli tiket lagi dan sebagainya.
“Jadi, sebab itu kami rasa tarikh 26 April adalah tarikh yang sesuai untuk mengadakan aksi final ini di mana pada ketika itu sudah tentu penyokong-penyokong lebih bersedia.
“Bukan sahaja penyokong-penyokong, malah pemain dan jurulatih juga ada lebih masa untuk berlatih dengan rapi, tidaklah perlu tergesa-gesa fikir nak balik kampung dalam masa singkat dan sebagainya.
“Jadi, saya harap dengan perubahan tarikh ini, penyokong-penyokong baik dari Sri Pahang dan JDT dapat sama-sama untuk turun padang dan merancang perjalanan dengan lebih baik untuk hadir pada 26 April, ” katanya.
MFL sebelum ini mengumumkan tarikh baharu aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) jam 9 malam pada 26 April.
Pengelola Liga Malaysia (Liga-M) itu menegaskan pertimbangan semula terpaksa dibuat selepas mendapat permohonan rasmi daripada Sri Pahang serta persetujuan bersama JDT.
Semua tiket fizikal dan e-tiket yang telah dan akan dijual tertera tarikh asal perlawanan akhir pada 12 April akan kekal digunakan untuk penyokong masuk ke stadium pada tarikh baharu perlawanan akhir 26 April.