PUTRAJAYA: Teka-teki sama ada tarikh keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 diumumkan sebelum atau selepas Aidilfitri, dijangka diketahui Isnin ini.
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, Lembaga Peperiksaan (LP) akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu nanti.
Beliau berkata, pihaknya memahami kegusaran ibu bapa mengenai tarikh sebenar keputusan peperiksaan itu namun, semua pandangan telah diambil kira.
“Sebenarnya semua sudah sedia, tapi kita telah mengambil kira pandangan pada semua pihak dan kita akan menunggu bila akan diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bila keputusan SPM akan keluar.
“Tapi rasanya sudah ada keputusan. Jadi untuk sekarang ini tumpu kepada ibadah puasa, semua mak ayah jangan risau. Kita sudah berdoa untuk anak-anak kita sebab Ramadan ini waktu yang paling mustajab, detik yang dikabulkan doa,” katanya ketika ditemui selepas Program Jaulah Ramadan KPM Tahun 2026 Wilayah Putrajaya, di sini hari ini.
Katanya, pengumuman tarikh itu diharap memberi keselesaan kepada semua termasuk ibu bapa, masyarakat dan calon SPM 2026 itu sendiri.
Dr Azam berkata, beliau sebelum ini sudah berbincang dengan Menteri Pendidikan tentang tarikh-tarikh berkenaan termasuk perbincangan di peringkat Unit Pengambilan Universiti (UPU).
“Buat masa ini, KPM tak pernah keluarkan lagi kenyataan mengenai tarikh sebenar keputusan SPM itu sama ada 12 Mac atau berapa haribulan ke. Tarikh pengumuman itu akan dibuat berdasarkan nasihat Lembaga Peperiksaan,” katanya. – UTUSAN






