BIARPUN sudah lebih seminggu gencatan senjata antara Israel dan Hamas dimeterai lewat 9 Oktober lalu, debu perang sekian lama membaluti bumi Gaza masih belum reda.
Malah, bau darah dan duka juga belum hilang dari tanah yang hancur serta bangunan ranap.
Sepanjang sejarah Palestin, gencatan senjata atau pelan damai seperti itu lazimnya hanya bersifat sementara, sedangkan bumi para anbia tersebut masih belum bebas daripada belenggu penjajahan.
PULUHAN ribu rakyat Palestin telah memulakan perjalanan panjang pulang ke tanah mereka di utara Gaza. -Foto: REUTERS
Ketika suasana pasca pertempuran menyelimuti Gaza, dunia kembali menoleh ke tanah yang menjadi saksi keteguhan luar biasa rakyatnya.
Dua tahun selepas Taufan Al-Aqsa, hakikat siapa mangsa dan penindas semakin terserlah, melenyapkan propaganda yang sekian lama menutup kebenaran.
Di layar televisyen mahupun paparan media sosial, wajah kanak-kanak Palestin bermain di celah runtuhan bangunan dengan senyuman terpampang, menentang realiti yang pahit
Kebenaran tidak dapat disembunyikan
Keteguhan itulah yang disebut oleh Ketua Lajnah Al-Quds dan Hubungan Antarabangsa, Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Dr Ahmad Yussuf sebagai lambang kebenaran yang tidak pernah padam walau seluruh dunia berpaling.

DR AHMAD
Beliau menjelaskan, hadis Rasulullah SAW tentang ta’ifah mansurah iaitu golongan yang tetap berpegang pada kebenaran hingga akhir zaman terserlah pada umat Palestin khususnya penduduk Gaza yang terus tabah biarpun berdepan kebuluran, kehilangan dan kepungan.
“Kita dapat lihat rakyat Gaza tetap sabar, bahkan ada kumpulan di utara Gaza yang enggan berpindah walau diancam tentera haram Israel. Itu satu perkara yang menyebabkan naratif antarabangsa berubah.
“Dulu mereka melihat Israel kononnya mempertahankan diri, tetapi apa yang berlaku di Gaza sepanjang dua tahun ini membuatkan orang ramai tidak percaya lagi dengan naratif yang dibawa oleh Israel dan Amerika Syarikat (AS),” katanya dalam webinar bertajuk Taufan Al-Aqsa: Dua tahun mengubah naratif perjuangan Palestin anjuran PUM yang disiarkan secara langsung di laman sosial Facebook persatuan itu baru-baru ini.

GENCATAN senjata antara Israel-Hamas itu juga membawa kegembiraan kepada rakyat Palestin untuk kembali pulang ke rumah mereka walaupun sudah musnah. -Foto: AP
Jelas beliau lagi, Taufan Al-Aqsa disifatkan sebagai Yaumul Furqan iaitu hari yang membezakan antara yang benar dan batil sebagaimana disebut dalam ayat ke-41 surah al-Anfal.
“Dulu Israel boleh berselindung dengan pelbagai alasan untuk menampakkan diri mereka kononnya sebagai negara demokrasi yang menjaga hak asasi manusia, tetapi kini mereka ‘telanjang’ sepenuhnya.
“Seperti firman ALLAH, ‘Liyasu-u wujuhakum’ (supaya mereka memburukkan wajah kamu) iaitu buruklah muka mereka, buruklah wajah negara haram Israel itu di mata dunia,” ujar beliau.
Kesedaran sejagat
Sementara itu, Setiausaha Agung PUM yang juga penganalisis geopolitik Palestin dan Baitulmaqdis, Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor menjelaskan, akar kepada konflik yang berlarutan ini berpunca daripada Balfour Declaration 1917 apabila penjajah British memberikan tanah Palestin kepada Zionis Yahudi untuk menubuhkan sebuah negara haram di bumi itu.
Tegasnya, Taufan Al-Aqsa bukan tindakan melulu, sebaliknya tindak balas terhadap penindasan berpanjangan sejak sekatan ke atas Gaza hampir 18 tahun.

DR MOHD ROSLAN
Selepas dua tahun peristiwa itu, menurutnya, berlaku perubahan besar terhadap kesedaran masyarakat dunia termasuk di Barat.
Ini termasuklah gerakan boikot terhadap syarikat penyokong Israel yang menjadi gelombang global, di samping beberapa negara Eropah mula mengiktiraf Palestin sebagai negara berdaulat.
“Orang di Barat kini berani menentang kerajaan sendiri. Mereka turun ke jalan, menuntut keadilan untuk Palestin.
“Kesedaran ini bukan lagi isu agama semata-mata, tetapi sudah menjadi isu kemanusiaan sejagat,” katanya.
Ia ditambah pula dengan gerakan kemanusiaan seperti Global Sumud Flotilla dan Freedom Flotilla Coalition turut menonjolkan kesedaran lintas agama apabila sukarelawan daripada pelbagai bangsa sanggup mempertaruhkan nyawa demi menuntut keadilan buat Gaza.
Media sosial jadi ‘senjata’
Bagi aktivis kelahiran Palestin, Dr Abdalrahim Shehab, dua tahun selepas operasi itu, Israel kehilangan sepenuhnya kelebihan moral di mata dunia.

DR ABDALRAHIM
Jelas beliau, dunia kini melihat wajah sebenar Zionisme yang selama ini berselindung di sebalik ‘keselamatan negara’.
“Kita melihat bahawa walaupun berlaku pembunuhan besar-besaran, rakyat tetap bertahan.
“Malah, setiap kali ada gencatan, akan lahir generasi baharu. Anak-anak terus menjadi kuat dan tidak gentar,” katanya.
Tambah beliau, perubahan itu bukan sahaja memperlihatkan ketabahan rakyat Palestin, tetapi turut mencetuskan kesedaran global yang semakin meluas terhadap hakikat sebenar perjuangan.
“Dunia mula sedar, yang dilawan oleh Israel bukan pengganas, tetapi manusia yang mempertahankan hak mereka.
“Negara-negara Eropah mula rasa tekanan. Rakyat mereka sendiri turun ke jalan menentang kezaliman,” ungkapnya.

RAKYAT Palestin,yang dipindahkan secara paksa ke bahagian selatan Gaza oleh Israel kembali menuju ke utara. -Foto: REUTERS
Dalam pada itu, Dr Abdalrahim turut menyebut, kebangkitan media sosial menjadi titik perubahan utama apabila setiap detik penderitaan disaksikan secara langsung oleh dunia tanpa tapisan.
“Media sosial telah menjadi medan tempur. Ia bukan lagi sekadar hiburan, tetapi gelanggang menentang kezaliman,” jelasnya.