am@hmetro.com.my
Port Dickson: Bukan kerana mahu mengaut untung, tetapi minat mendalam mendorong jurutera, Aspan Rafii menjadi ‘tauke’ rumah hantu bagi membawa pengalaman meneroka alam misteri kepada peminat dunia mistik.
Aspan, 46, berkata rumah hantu itu tidak berada di satu tempat saja, sebaliknya dibuka di merata lokasi penganjuran acara disertainya.
Biarpun rumah hantu masa kini tidak banyak seperti dulu, Aspan nekad membukanya kerana menyedari masih ada permintaan terutama daripada mereka yang berani merasai pengalaman seram.
Aspan berkata, pada awalnya, dia membuka rumah hantu di restoran miliknya yang berkonsep mistik sebelum menerima undangan daripada penganjur di tapak festival.
“Rumah hantu memang ada sejak dulu lagi, cuma sekarang kurang orang buat (usahakan) mungkin sebab tak berminat. Saya pula buat atas dasar minat walaupun ramai yang takut, tetapi ada juga berani.
“Ia boleh dilihat di TikTok dan media sosial apabila ada individu serta kumpulan aktif dalam aktiviti paranormal yang secara tidak langsung menarik minat penggemar kisah seram,” katanya.
Menurut Aspan, dia bergerak dalam kumpulan terdiri dengan rakan kongsi, Airyn Farawaniz, 34, atau dikenali Yam Ponti dan lapan kru yang diberi tugas menjadi ‘hantu’.
Katanya, mereka memiliki pengalaman dan mula ‘menghantui’ pengunjung dengan membuka ‘Puaka Tingkat Satu’ di sebuah hotel, dekat sini, sejak 17 Januari lalu.
“Puaka Tingkat Satu itu dibuka selepas mendapat undangan daripada pihak hotel. Kami terima kerana sebelum ini ramai mengaitkan hotel itu dengan kisah mistik yang tercetus selepas disebarkan daripada mulut ke mulut.
“Jadi, kita cuba buat psikologi berbalik kerana tengok juga siapa yang berani datang. Persediaan untuk buka rumah hantu itu dibuat selama seminggu termasuk untuk menyiapkan dekorasi di ruang disediskan,” katanya.
Selain berhibur, Aspan berkata, dia juga menyampaikan mesej kepada peminat mistik supaya tidak terlalu taksub, takut dan percaya dengan hantu juga makhluk ghaib melebihi Allah SWT sebagai Pencipta.
“Bagi saya, peluang membuka rumah hantu ini bukan hanya beri saya pulangan duit hasil bayaran tiket masuk pengunjung.
“Tapi ia juga beri kesempatan kepada saya untuk didik orang ramai supaya jadi berani dan tidak terlalu takut dengan makhluk ghaib yang biasanya dipanggil hantu.
“Walau takut macam mana pun, kena buat amalan dituntut dalam agama misalnya baca doa sebagai pelindung jika dalam ketakutan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd