“Rezeki datang dari Allah,” demikian respons pelakon jeliata, Uqasha Senrose ketika diminta mengulas mengenai tawaran lakonan yang terus mencurah meskipun dirinya berdepan isu rumah tangga.
Menurut Uqasha, setiap peluang yang datang dianggap sebagai ketentuan dan rezeki daripada Allah SWT, sekali gus menjadi pembakar semangat untuknya terus fokus terhadap perjalanan seni.
“Ini semua rezeki. Alhamdulillah,” jawabnya ringkas.
Uqasha yang kini bakal muncul dengan drama terbaharu berjudul, Bisik Asmara dan bakal bergandingan bersama Zul Ariffin dan Sophia Albarakbah dalam slot Samarinda TV3 menganggap, karya itu sebagai ‘comeback’ untuknya selepas tampil dalam drama popular Tundukkan Playboy Itu terbitan stesen televisyen berkenaan.
“Memang dah lama tak buat dengan TV3. Last sekali saya buat adalah Tundukkan Playboy itu.
“Sekarang saya sibuk dengan penggambaran drama Jika Cinta Itu Buta, dan akan terus ke set Bisik Asmara pula yang penggambarannya dijadualkan bermula 8 November ini,” jelasnya.
Berkongsi lanjut, pemilik nama lengkap Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, menegaskan, meskipun sibuk dengan penggambaran namun, dia tetap akan meluangkan masa untuk puteri sulungnya, Hawra Uqaira.
“Walaupun back to back shooting, saya akan pastikan jumpa Uqaira dan luangkan masa dengan dia setiap hari.
“Saya juga akan bawa Uqaira datang ke set bersama-sama ibu dan pembantu saya. Setakat ni, Uqaira jarang meragam dan pembantu ataupun ibu saya akan jaga dia sementara saya berlakon,” ujarnya.






