TDM akan ambil tindakan jika kontraktor masih gagal hantar Black Hawk

TDM akan ambil tindakan jika kontraktor masih gagal hantar Black Hawk


SIK – Tentera Darat Malaysia (TDM) akan mengambil tindakan susulan sekiranya kontraktor yang dilantik masih gagal membuat penghantaran pertama helikopter Black Hawk selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, sehingga kini TDM masih belum menerima sebarang perkhabaran berkaitan perolehan aset helikopter pengangkut sederhana itu walaupun sebelum ini kontraktor telah berjanji untuk membuat penghantaran pertama bulan ini.

“Kita amat-amat berharap mereka dapat mengotakan janji kerana seperti yang saya telah sebutkan sebelum ini tempoh penghantaran pun sudah terlewat, sepatutnya kita menerima pesawat pertama pada November tahun lepas.

“Sekarang, dah lebih lima bulan, masih tiada apa berita. Jadi, kita masih beri peluang hingga hujung bulan April, sekiranya masih tiada apa-apa perkhabaran, kita akan ambil tindakan susulan melalui Kementerian Pertahanan selaku pengurus kontrak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama anggota dan pegawai operasi di Kem Gubir, di sini, hari ini.

Menurut Muhammad Hafizuddeain, pihaknya amat berharap agar kontraktor berkenaan dapat membuat penghantaran peringkat pertama melibatkan sebuah daripada empat helikopter jenis Sikorsky UH-60A+ Black Hawk yang disewakan untuk kegunaan Pasukan Udara Tentera Darat itu pada bulan ini.

“Kita amat memerlukan keupayaan ‘medium lift’ ini untuk melaksanakan operasi seperti di sini (Kem Gubir) dan di kawasan pedalaman.

“Jadi nanti perancangan kita untuk meletakkan beberapa (pesawat) di sini (Semenanjung) dan beberapa di Sabah dan Sarawak untuk kita beri bantuan juga untuk operasi di sebelah sana,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Hafizuddeain berkat,a pesawat-pesawat berkenaan juga akan digunakan oleh pasukan 10 Briged Para bagi latihan penerjunan.

“Setakat ini, TDM banyak bergantung pada Tentera Udara Diraja Malaysia bagi urusan pengangkutan operasi dan logistik,” katanya. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top