nfazlin@nstp.com.my
Kota Bharu: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan sedang merangka pelan tindakan pemulihan tebing Sungai Kelantan di Jalan Post Office Lama, yang runtuh semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin, berkata JPS sudah mengadakan lawatan segera ke lokasi berkenaan bagi menilai situasi.
“JPS sudah mengadakan lawatan segera ke lokasi bagi menilai situasi dan kini sedang merangka pelan tindakan pemulihan tebing berkenaan.
“Selain itu, agensi lain seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah dan Galian Galian (PTG) juga akan terbabit dalam usaha tindakan susulan bagi memastikan langkah pemulihan dapat dijalankan dengan cekap dan berkesan.
“Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan mengelakkan kawasan berkenaan buat sementara waktu sehingga kerja pemulihan selesai,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Semalam media melaporkan, satu runtuhan sepanjang hampir 50 meter dikesan di tebing Sungai Kelantan, tengah hari semalam.
Runtuhan itu menyebabkan laluan pejalan kaki dan rekreasi turut runtuh pada ketinggian hampir 10 meter.
© New Straits Times Press (M) Bhd