Tebus kecewa di Seluruh England

Tebus kecewa di Seluruh England

Tebus kecewa di Seluruh England


Sze Fei-Nur Izzuddin mara ke pusingan kedua Terbuka Malaysia Super 1000 selepas mengatasi Lundgaard-Vestergaard di Stadium Axiata Arena pada Selasa. Foto: Bernama

SKUAD badminton negara dituntut mempamerkan kebangkitan pada Kejohanan Badminton Seluruh England yang akan menyingkap tirainya pada Selasa selepas mempamerkan aksi mengecewakan di Terbuka Jerman, minggu lalu.

Pemerhati sukan, Zakaria Rahim berkata, kekecewaan pastinya membelenggu kem badminton negara apabila tiada satu pun wakil Malaysia berjaya mara ke pentas separuh akhir pada kejohanan Terbuka Jerman yang hanya bertaraf Super 300 tersebut.

Menurutnya, cabaran di Seluruh England pastinya jauh lebih berliku dan mencabar memandangkan ia merupakan kejohanan berstatus Super 1000 yang mewajibkan penyertaan kesemua pemain ranking teratas dunia.

“Di Seluruh England, laluannya cukup berbeza. Maka pemain kita tiada pilihan lain kecuali bangkit dan melakukan sesuatu yang luar biasa untuk mengubat kekecewaan peminat badminton negara.

“Malaysia mempunyai wakil terbanyak dalam sektor beregu lelaki iaitu sebanyak tujuh pasangan. Pastinya agak mengecewakan jika tiada satu pun daripada mereka yang mampu melangkah ke pentas final atau sekurang-kurangnya separuh akhir,” katanya.

Menurut Zakaria, harapan besar kini diletakkan di bahu beregu utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani memandangkan mereka adalah antara pasangan terkuat dunia dan diletakkan dalam senarai pilihan kejohanan.

Turut menjadi sandaran ialah beregu pilihan negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang diharap mampu mencetak kegembiraan buat kontinjen Malaysia.

Bagaimanapun, tahap persiapan pasangan itu masih menjadi tanda tanya berikutan mereka tidak turun beraksi di Terbuka Jerman.

Zakaria turut menyifatkan saingan berprestij Seluruh England ini berpotensi menjadi medan penentuan bagi memilih dua gandingan utama untuk menggalas cabaran pasukan Piala Thomas negara kelak.

“Aaron-Wooi Yik, Sze Fei-Izzuddin dan Wei Chong-Kai Wun perlu membuktikan siapa yang lebih hebat dan layak memimpin cabaran negara pada masa ini,” ujarnya.

Sementara itu, bagi saingan beregu wanita, harapan negara terus disandarkan kepada gandingan Pearly Tan-M Thinaah untuk tampil dengan aksi cemerlang.

Bagi beregu campuran pula, tugas berat kini diletakkan di bahu Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, terutamanya selepas pasangan profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai gagal menyerlah di Terbuka Jerman.

Ringkasan AI

  • Skuad badminton negara diharap bangkit pada Kejohanan Badminton Seluruh England selepas kegagalan di Terbuka Jerman
  • Kekecewaan melanda kerana tiada wakil Malaysia mara ke separuh akhir di Terbuka Jerman
  • Cabaran di Seluruh England lebih berat kerana kejohanan ini menarik penyertaan pemain ranking teratas dunia
  • Harapan besar diletakkan pada beregu utama seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani
  • Kejohanan ini dianggap sebagai medan penentuan bagi memilih gandingan utama untuk Piala Thomas negara



Source link

OR

Scroll to Top