DEWAN Ulamak PAS Kawasan Jasin dengan penuh prihatin meneliti perkembangan ajaran sesat Ahmadi yang semakin giat menyebarkan dakyah mereka di negara kita, khususnya di negeri Melaka.
Kami memandang serius insiden terbaharu yang berlaku pada 16 Januari 2025, di mana sebuah kain rentang mempromosikan ajaran ‘The Ahmadi Religion of Peace and Light’ ditemui tergantung di jejantas Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di Peringgit Jaya.
Tulisan pada kain rentang tersebut, ‘Abdullah Hashem Adalah Al-Mahdi Ahmadi Agama Keamanan dan Cahaya’, jelas bertentangan dengan akidah Islam dan telah difatwakan sesat. Tindakan ini dipercayai dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab pada malam sebelumnya, yang menunjukkan keberanian golongan sesat ini dalam menyebarkan ideologi mereka.
Fenomena lama dalam bentuk baharu
Kemunculan ajaran sesat seperti Ahmadi ini bukanlah sesuatu yang baharu. Sejak zaman berzaman, golongan yang sesat sentiasa muncul membawa pelbagai dakwaan palsu, termasuk mendakwa diri mereka sebagai Nabi, wakil Tuhan, atau Imam al-Mahdi. Perkara ini telah pun diingatkan oleh Allah SWT:
اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِّن دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا إِلَٰهًا وَاحِدًا ۖ لَّا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ۚ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ
“Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama mereka sebagai sembahan-sembahan selain dari Allah SWT, dan juga (mereka mempertuhankan) al-Masih Ibn Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.” (Surah at-Taubah ayat 31)
Ajaran ini mengambil kesempatan daripada kejahilan masyarakat terhadap agama, serta kecenderungan sesetengah individu untuk menerima doktrin-doktrin baru yang tampak ‘damai’ tetapi hakikatnya menyelewengkan syariat Islam.
Ajaran sesat Ahmadi yang membimbangkan
DUP Kawasan Jasin ingin menegaskan bahawa ajaran ini bercanggah secara total dengan prinsip Islam. Antara ciri-ciri penyelewengan ajaran Ahmadi adalah:
1. Sinkretisme agama:
Mereka mencampur-adukkan pelbagai ajaran daripada pelbagai agama dan falsafah hingga membentuk doktrin baharu.
2. Dakwaan Imam al-Mahdi palsu:
Abdullah Hashem diangkat sebagai Imam al-Mahdi dengan dakwaan tidak berasas.
3. Kesesuaian dengan fahaman Syiah:
Mereka mendakwa hanya imam pilihan Allah yang boleh memimpin umat, namun konsep ini tersasar jauh daripada ajaran Islam sebenar.
4. Sokongan terhadap LGBT:
Fahaman mereka memperdaya umat Islam dengan menggunakan sifat Allah Yang Maha Penyayang untuk menghalalkan perkara yang jelas diharamkan dalam syariat.
5. Penyelewengan syariat Islam:
Mereka meminda hukum-hakam agama untuk disesuaikan dengan ideologi yang mereka bawa.
Tanggungjawab bersama membanteras kesesatan
DUP Kawasan Jasin menyeru agar pihak berwajib mengambil tindakan tegas terhadap penyebaran ajaran ini. Media sosial dan platform digital telah menjadi saluran utama mereka menyebarkan ideologi sesat dengan lebih pantas.
Oleh itu, langkah proaktif perlu diambil oleh pihak kerajaan dan pihak berkuasa agama untuk:
1. Memperkasakan Undang-undang Syariah:
Negeri-negeri harus menilai semula dan memperkukuhkan enakmen jenayah syariah untuk membanteras ajaran sesat secara efektif.
2. Kesedaran awam:
Masyarakat harus diberikan pendedahan yang jelas mengenai bahaya ajaran ini. LPUP menyeru umat Islam agar mendalami ilmu agama daripada sumber yang sahih dan berautoriti.
3. Tindakan pantas dan tegas:
Penguatkuasaan undang-undang perlu dilakukan tanpa kompromi, terutama terhadap individu atau kumpulan yang terlibat mempromosikan ajaran sesat ini.
Kembali kepada Islam yang sahih
Rasulullah SAW telah mengingatkan dalam sabdanya:
مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ
“Barang siapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan agama kami yang bukan daripadanya, maka ia tertolak.” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim)
Maka, umat Islam wajib berpegang teguh kepada ajaran Islam yang sahih dan menolak sebarang doktrin yang bertentangan.
PAS bertekad menyelamatkan umat Islam, khususnya daripada kemungkaran aqidah yang jauh lebih besar dan berbahaya. Dalam masa yang sama, PAS menentang semua bentuk kemungkaran tanpa memilih jenis atau pelaku seperti kemungkaran jenayah akhlak, pelanggaran syariat, serta salah laku politik seperti rasuah.
DUP Kawasan Jasin menyeru umat Islam agar berhati-hati dan tidak termakan dakyah yang disebarkan oleh golongan sesat ini.
Kami menutup kenyataan ini dengan seruan kepada pihak berkuasa, para ulama, dan umat Islam agar memainkan peranan masing-masing dalam mempertahankan kemurnian akidah umat dan menjauhi perbahasan khilafiah yang merugikan umat.
Semoga Allah SWT memelihara kita daripada kesesatan dan mengurniakan hidayah kepada mereka yang telah terpesong.
USTAZ ZULHILMI AZIZ ABDUL HANNAN
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Kawasan Jasin – HARAKAHDAILY 23/1/2025