Teka-teki terjawab! PN sahkan Hamzah letak jawatan Ketua Pembangkang

Teka-teki terjawab! PN sahkan Hamzah letak jawatan Ketua Pembangkang


Teka-teki mengenai kedudukan Ketua Pembangkang akhirnya terjawab apabila Perikatan Nasional (PN) mengesahkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin tidak lagi menyandang jawatan tersebut.

Sahkan peletakkan jawatan

Menerusi perkongsian video di media sosial, Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan, beliau telah mengarahkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk menghantar surat rasmi kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi memaklumkan kekosongan jawatan berkenaan.

“Saya rasa esok (Isnin) surat itu akan dihantar memandangkan hari ini merupakan hari cuti. Ia melibatkan pemakluman kekosongan jawatan Ketua Pembangkang buat masa ini.
“Apabila kita hantar surat menyatakan berlaku kekosongan, maka secara automatik jawatan itu dikosongkan. Datuk Seri Hamzah Zainuddin bukan lagi Ketua Pembangkang,” katanya.

Ketua Pembangkang baru dimaklumkan Jun

Beliau berkata demikian bagi mengesahkan status jawatan tersebut yang sebelum ini menjadi tanda tanya dalam kalangan pemerhati politik.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata PN kini telah merangka langkah seterusnya bagi mengisi kekosongan itu menjelang sidang Dewan Rakyat akan datang.

“Kita akan mempunyai Ketua Pembangkang yang baharu menjelang sidang Dewan Rakyat pada Jun ini,” jelas beliau.

 

Menurut takwim Parlimen, Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Ke-15 akan berlangsung dari 22 Jun hingga 16 Julai ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai pelbagai pandangan termasuk cadangan supaya jawatan itu diberikan kepada pemimpin Pas, namun menyifatkan perkara tersebut sebagai lumrah dalam politik.

“Kalau kita tanya 10 orang, mungkin ada 10 jawapan berbeza. Biasalah, masing-masing mempunyai hasrat terhadap kepimpinan. Apa pun, kita mendengar semua pandangan dan akan berbincang mengenainya,” katanya.

Sementara itu, PN turut menyatakan sokongan terhadap cadangan pewujudan Akta Pendanaan Politik, namun menekankan kepentingan sesi libat urus menyeluruh sebelum ia dimuktamadkan di Parlimen.

Sumber: Facebook Dr. Ahmad Samsuri Mokthar





Source link

OR

Scroll to Top