Kuala Lumpur: Sejak kebelakangan ini, pesakit hadir mendapatkan rawatan di klinik atau pakar berkaitan bukan sahaja untuk rawatan fizikal malah meluahkan tekanan kerja dan stres berpanjangan dihadapi.
Pengasas Pusat Kesihatan, Fisioterapi dan Rehabilitasi Bersepadu IDEAL, Dr Faizi Rosli, berkata masalah ini tidak boleh dipandang rendah oleh semua pihak.
Katanya, tekanan kerja melampau atau ‘burnout’ iaitu keletihan melampau menjadi cabaran besar dalam dunia korporat moden.
Fenomena ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan pekerja malah memberi kesan langsung kepada prestasi dan daya saing organisasi.
“Pekerja adalah tulang belakang organisasi berjaya. Tetapi realitinya, mereka semakin terbeban dengan tekanan yang akhirnya menjejaskan kesihatan fizikal dan mental.
“Tahap kesedaran majikan di Malaysia masih boleh dipertingkatkan. Ada syarikat hanya menjalankan program kesejahteraan kerana Petunjuk Prestasi Utama (KPI), manakala ada juga majikan yang benar-benar prihatin terhadap staf mereka,” katanya.
Bagi mencari penyelesaian lebih berkesan, IDEAL menjalin kerjasama strategik bersama perusahaan sosial Thrive Well menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani baru-baru ini.
Kerjasama ini memperkenalkan pendekatan holistik dengan gabungan rawatan fizikal, rehabilitasi dan pencegahan oleh IDEAL, serta sokongan psikologi dan terapi mental oleh Thrive Well.
Dr Faizi berkata, setiap syarikat mempunyai keperluan berbeza kerana ada yang mahu program mingguan, ada yang sebulan sekali, malah ada yang minta pekerja dibahagi mengikut tahap kecergasan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Thrive Well, Ellisha Othman, menegaskan akses kepada rawatan psikologi masih terhad dan mahal.
“Kesihatan mental tidak boleh dipisahkan daripada kesihatan fizikal. Pelaburan dalam kesihatan mental pekerja adalah strategi jangka masa panjang, bukan kos tambahan,” jelasnya.
Tambahnya, Thrive Well menawarkan tiga cabang utama iaitu latihan peribadi, perkhidmatan khusus seperti untuk kanak-kanak neurodivergen atau orang dewasa dengan depresi serta program kesihatan korporat yang memberi tumpuan kepada keseimbangan mental dan produktiviti.
Majlis MoU ini turut disaksikan wakil syarikat besar termasuk PETRONAS, DELEUM, KUB Holdings, Gadros Holdings dan Energise Sdn Bhd.
Kehadiran mereka menandakan isu kesejahteraan pekerja semakin mendapat perhatian dunia korporat Malaysia.
Kerjasama IDEAL dan Thrive Well dijangka menjadi penanda aras baharu dalam kesejahteraan korporat negara, dengan mesej jelas bahawa pekerja bukan sekadar “human resources”, tetapi manusia sebenar yang memerlukan sokongan menyeluruh untuk terus cemerlang.
© New Straits Times Press (M) Bhd