September 8, 2024

Teman wanita pelakon tarik balik aduan pukul

Teman wanita pelakon tarik balik aduan pukul



am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Teman wanita kepada pelakon lelaki yang sebelum ini membuat aduan polis mendakwa dipukul hingga cedera, sudah menarik balik aduannya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar, ketika mengesahkan perkara itu memaklumkan mangsa menarik aduan berkait kejadian itu pada minggu lepas.

“Mangsa ada membuat laporan menarik balik aduan pada minggu lalu,” katanya kepada BH, hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kertas siasatan berkait kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk semakan.

“Kertas siasatan sudah diserahkan kepada DPP pada minggu lalu. Kita sedang menunggu arahan lanjut,” katanya.

Ketika ditanya sama ada kes berkenaan akan ditutup atau diselesaikan secara baik berikutan mangsa menarik balik aduan, Shahrulnizam berkata, perkara itu bergantung kepada arahan DPP kelak.

Pada 7 Julai lalu, seorang wanita mendakwa dipukul teman lelakinya yang juga pelakon dalam kejadian di Ara Damansara, pada jam 3 pagi.

Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang berusia 25 tahun keluar bersama kakaknya sebelum dihubungi suspek yang memarahinya kerana perselisihan faham.

Teman lelaki mangsa kemudian meminta wanita itu untuk datang berjumpanya sebelum mereka bertemu di Ara Damansara.

Sebaik tiba, mangsa masuk ke dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu teman lelakinya.

Secara tiba-tiba, teman lelaki mangsa memarahinya dan terus menumbuk mata sebelah kiri serta badan wanita itu.

Pada 10 Julai lalu, suspek yang berusia 37 tahun tampil kepada pihak polis bersama bapanya untuk proses rakam keterangan dan tidak ditahan.

Polis dilaporkan turut merakam keterangan mangsa serta kakaknya untuk membantu siasatan.

Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan membawa hukuman penjara setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top