Tembakan di kepala sebabkan kematian Yahya Sinwar

Tembakan di kepala sebabkan kematian Yahya Sinwar


Baitulmaqdis: Hasil bedah siasat Israel mendapati pemimpin Hamas, Yahya Sinwar terbunuh kerana terkena tembakan di kepala, lapor New York Times pada 18 Oktober lalu.

Dr Chen Kugel, yang mengendalikan bedah siasat memberitahu akhbar itu bahawa Yahya pertama kali cedera di lengan oleh serpihan, kemungkinan daripada peluru berpandu atau (peluru) kereta kebal.

Pemimpin Hamas itu kemudiannya mengikat kabel elektrik di lengannya sebagai tourniquet (alat untuk menyekat darah) sementara, tetapi Dr Kugel yang pengarah institut forensik kebangsaan Israel berkata, ia tidak cukup kuat, dan lengannya hancur.

Dr Kugel berkata, tembakan di kepala itu membunuh Yahya namun tidak jelas siapa yang melepaskan tembakan dan senjata apa yang digunakan.

Menurut tentera Israel, Yahya maut ketika anggotanya melakukan rondaan pada 16 Oktober lalu.

Katanya, sekumpulan anggota tentera Briged 828 (Bislach) sedang bergerak melalui bandar Rafah apabila terserempak dengan tiga pejuang Palestin.

Ketika anggota tentera mengejar mereka, Yahya berpecah daripada dua yang lain.

Tentera Israel kemudian melepaskan tembakan dengan kereta kebal ke arah bangunan di mana dua pejuang bersembunyi dan satu lagi di tempat di mana Yahya berlindung.

Media dan pegawai tentera Israel berkata, tiada risikan sebelum ini menunjukkan kehadiran Yahya di kawasan itu.

Rakaman yang dikeluarkan oleh tentera Israel menunjukkan Yahya diselaputi habuk duduk di kerusi berlengan sambil merenung dron ketika peranti itu memasuki rumah yang musnah akibat serangan.

Satu rokaman video menunjukkan Yahya bersendirian dengan sebelah tangan parah dan kepalanya ditutup dengan selendang tradisional, membaling kayu ke arah dron yang menghampiri, ketika akhir hayatnya.

Tentera Israel menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bersama-sama dengan pemeriksaan pergigian dan prosedur forensik lain yang membantu mengesahkan identiti Yahya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top