Tempoh lima hari mencabar buat Nafuzi

Tempoh lima hari mencabar buat Nafuzi


TEMPOH persiapan lima hari sebelum kejohanan Piala ASEAN bawah 23 tahun (B-23) bermula pada 15 Julai menjadi detik mencabar buat pengendali Harimau Muda, Nafuzi Zain yang mengakui pasukannya belum berada pada tahap terbaik untuk menghadapi saingan di Jakarta, Indonesia itu.

Menurut Nafuzi, meskipun Harimau Muda berjaya mencatatkan dua kemenangan dalam aksi persahabatan menentang dua pasukan Liga Super iaitu PDRM FC dan Melaka FC, beliau menegaskan keputusan itu bukan gambaran sebenar kekuatan pasukannya ketika ini.

Bagaimanapun, beliau percaya masa yang ada ini akan dapat digunakan sebaik mungkin dalam membentuk keserasian dan menerapkan taktikal yang dimahukan dalam kalangan pemain.

“Walaupun kita menang, saya melihat masih banyak aspek perlu diperbaiki. Dari sudut pandangan saya, pasukan belum berada pada tahap terbaik.

“Kelemahan-kelemahan yang ada perlu diperbaiki segera kerana cabaran sebenar dalam kejohanan nanti jauh lebih sukar.

“Kita masih ada masa. Fokus sekarang adalah memperbaiki kelemahan dan meningkatkan persefahaman pasukan. Saya percaya pemain-pemain ini ada potensi besar dan kami akan terus berusaha memberikan yang terbaik untuk negara,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan menentang Melaka FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Selasa..

Dalam pada itu, bekas pengendali Terengganu FC itu juga mengakui berdepan tekanan dalam menyiapkan pasukan dalam masa yang singkat, namun ia perkara normal bagi seseorang jurulatih apatah lagi ini adalah pengalaman baharu buatnya menguruskan pasukan kebangsaan.

“Ini adalah tanggungjawab besar dan pengalaman baharu buat saya. Persiapan pasukan kebangsaan berbeza dengan kelab, terutamanya dari segi masa yang terhad untuk membentuk keserasian dalam pasukan.

“Tapi saya juga rasa teruja dan gembira dapat bekerja dengan para pemain muda ini. Mereka menunjukkan komitmen yang tinggi, cuma dari segi tempo permainan dan keserasian, masih banyak ruang untuk ditingkatkan,” ujarnya.

Selepas ini, Harimau Muda dijadual berdepan satu lagi pasukan Liga Super, Negeri Sembilan FC pada Jumaat ini sebelum bertolak ke Indonesia bagi menghadapi kejohanan sebenar.

Untuk rekod, Malaysia akan memulakan saingan Kumpulan A menentang Filipina pada 15 Julai, diikuti Brunei pada 18 Julai sebelum menutup aksi kumpulan menentang tuan rumah, Indonesia tiga hari kemudian.



Source link

OR

Scroll to Top