Ten Hag ganti Alonso di Bayer Leverkusen

Ten Hag ganti Alonso di Bayer Leverkusen


BEKAS pengendali Manchester United, Erik ten Hag, dilantik sebagai ketua jurulatih baharu kelab Bundesliga Jerman, Bayer Leverkusen, menggantikan Xabi Alonso yang disahkan sebagai pengendali baharu kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid.

Ten Hag, 55, menandatangani kontrak selama dua tahun bersama Leverkusen, sekali gus menandakan kemunculan semula beliau dalam dunia pengurusan bola sepak selepas meninggalkan Manchester United pada Oktober lalu.

Ini merupakan jawatan pengurusan pertama beliau sejak meninggalkan kelab England itu.

Sepanjang lebih dua tahun bersama Manchester United, Ten Hag membawa kelab tersebut menjulang Piala Liga dan Piala FA, meskipun akhirnya disingkirkan selepas kelab itu menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga ke-14.

Sebelum menyertai Manchester United pada 2022, jurulatih dari Belanda itu menikmati kejayaan cemerlang bersama Ajax Amsterdam, termasuk memenangi tiga kejuaraan liga dan dua piala domestik, serta membentuk pasukan yang mendominasi kancah bola sepak Belanda dari 2018 hingga 2022.

Sementara itu, Pengarah Sukan Bayer Leverkusen, Simon Rolfes, menyifatkan pelantikan Ten Hag sebagai langkah tepat berdasarkan pengalaman dan rekod kejayaannya di pentas Eropah.

“Dengan membawa masuk Erik ten Hag, kami telah memperoleh seorang jurulatih berpengalaman yang telah membuktikan keupayaannya melalui kejayaan cemerlang di atas padang.

“Beliau membentuk skuad Ajax yang sangat dominan dan terus menunjukkan kemahiran tinggi sebagai jurulatih ketika mengemudi Manchester United dalam keadaan yang mencabar,” katanya.

Sebagai rekod, di bawah Alonso, Bayer Leverkusen menamatkan musim 2023/24 dengan memenangi kejuaraan berganda – liga dan piala – buat kali pertama dalam sejarah kelab.

Namun, musim ini mereka menamatkan saingan Bundesliga di tempat kedua, ketinggalan 13 mata di belakang juara, Bayern Munich.

Ten Hag dijadual memulakan tugas rasmi bersama Leverkusen pada 1 Julai depan.

Beliau menyuarakan rasa teruja untuk menyertai salah sebuah kelab terkemuka di Jerman yang semakin mendapat tempat dalam bola sepak Eropah.

“Leverkusen merupakan antara kelab terbaik di Jerman dan semakin menyerlah di Eropah. Saya datang ke sini untuk meneruskan cita-cita yang telah ditunjukkan kelab ini dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Ini merupakan satu cabaran menarik untuk membina sesuatu yang bermakna dalam era perubahan ini dan mengembangkan sebuah pasukan yang bercita-cita tinggi,” kata Ten Hag.

Pelantikan Ten Hag ini dijangka memperkukuh aspirasi Leverkusen untuk terus bersaing di peringkat tertinggi dalam liga domestik dan pentas Eropah.



Source link

OR

Scroll to Top