BEKAS pengurus Manchester United, Erik ten Hag dilaporkan berminat untuk mengisi jawatan ketua jurulatih di Juventus selepas pemecatan Thiago Motta.
Juventus menyingkirkan Motta pada Ahad lalu setelah prestasi buruk, termasuk kekalahan 3-0 kepada Fiorentina dan 4-0 di tangan Atalanta menyebabkan mereka jatuh ke tangga kelima Serie A, 12 mata di belakang pendahulu Inter Milan.
Ten Hag yang dipecat oleh Manchester United pada Oktober lalu, tidak mengendalikan mana-mana kelab sejak itu.
Walaupun tempoh perkhidmatannya bersama The Red Devils tidak stabil, ten Hag berjaya memenangi Piala Liga dan Piala FA.
Sebelum itu di Ajax, ten Hag meraih tiga gelaran liga dan membawa kelab Eredevisie tersebut ke separuh akhir Liga Juara-Juara pada musim 2018/19.
Selain ten Hag, Juventus turut mempertimbangkan Roberto Mancini, Stefano Pioli dan Gian Piero Gasperini sebagai calon pengganti Motta.