BEKAS pengendali Manchester United, Erik Ten Hag mendakwa dia tidak pernah mendapat kepercayaan sewajarnya daripada Bayer Leverkusen selepas dipecat secara mengejut pada Isnin.
Jurulatih dari Belanda itu ditamatkan kontrak hanya selepas tiga perlawanan bersama kelab Bundesliga tersebut walaupun baru sahaja menandatangani kontrak dua tahun bagi menggantikan Xabi Alonso yang kini membimbing Real Madrid.
Leverkusen membuka musim dengan kemenangan 4-0 ke atas pasukan divisyen empat, Sonnenhof Grossaspach dalam aksi DFB Pokal sebelum tewas 1-2 kepada Hoffenheim dalam Bundesliga. Sabtu lalu, mereka mensia-siakan kelebihan 3-1 untuk sekadar seri 3-3 menentang Werder Bremen.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan agensinya, SEG Football, Ten Hag meluahkan rasa terkejut dengan pemecatan itu sambil menegaskan dia tidak diberikan masa dan kepercayaan secukupnya untuk membentuk pasukan.
“Seorang jurulatih baharu seharusnya diberi ruang untuk melaksanakan visinya, menetapkan standard, membentuk skuad dan meninggalkan identiti permainan.
“Saya memulakan tugas ini dengan penuh keyakinan serta tenaga, namun malangnya pihak pengurusan tidak sanggup memberi saya masa dan kepercayaan yang diperlukan sesuatu yang amat saya kesali,” katanya.
Sebelum ini, Ten Hag turut dipecat oleh Manchester United pada Oktober 2024 selepas pasukan itu berada di tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris biarpun pernah menjulang Piala Liga 2023 dan Piala FA 2024.
“Keputusan pihak pengurusan Leverkusen untuk menamatkan khidmat saya pagi tadi benar-benar mengejutkan. Untuk berpisah dengan jurulatih selepas hanya dua perlawanan liga adalah sesuatu yang belum pernah berlaku.
“Proses membina sebuah pasukan baharu memerlukan masa dan kepercayaan. Sepanjang karier saya, setiap kali diberi kepercayaan, saya berjaya membawa kejayaan dan trofi.
“Akhir sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong Leverkusen atas sokongan dan semangat mereka, serta mendoakan kejayaan buat pasukan dan barisan jurulatih sepanjang baki musim ini,” katanya.