EPISOD singkat Erik ten Hag bersama Bayer Leverkusen berakhir apabila pengendali dari Belanda itu dipecat hanya selepas dua perlawanan liga, sekali gus mencatatkan rekod pemecatan paling pantas dalam sejarah Bundesliga.
Pengendali berusia 55 tahun yang dilantik musim lalu selepas dipecat Manchester United pada Oktober, menjadi pengurus ketiga bekas bos United kehilangan kerja dalam tempoh seminggu.
Sebelum ini, Ole Gunnar Solskjaer ditunjukkan jalan keluar kelab Turkiye, Besiktas manakala Jose Mourinho ditamatkan kontrak Fenerbahce sehari kemudian.
“Tiada siapa mahu membuat keputusan ini. Namun, beberapa minggu kebelakangan jelas menunjukkan usaha membina pasukan baharu dengan pendekatan ini tidak mampu dilaksanakan,” kata Pengarah Urusan Leverkusen, Simon Rolfes.
Leverkusen hanya meraih satu mata dalam dua aksi liga apabila tewas 1-2 kepada Hoffenheim setelah mendahului lebih awal di gelanggang sendiri, sebelum sekadar seri 3-3 menentang Werder Bremen pada Sabtu walaupun selesa mendahului 2-0 dan 3-1 ketika lawan bermain dengan 10 orang.
Satu-satunya kemenangan Ten Hag hadir dalam aksi sulungnya apabila menundukkan kelab Divisyen Empat, SG Sonnenhof Grossaspach, 4-0 dalam saingan Piala Jerman pada 15 Ogos lalu.
Sebagai rekod, Ten Hag menandatangani kontrak dua tahun pada Mei menggantikan Xabi Alonso yang berhijrah ke Real Madrid selepas membawa Leverkusen menjulang gelaran berganda Bundesliga dan Piala Jerman musim 2023/24.
“Kami merasakan satu keputusan perlu biarpun perpisahan pada peringkat awal musim ini memang sukar.
“Leverkusen tetap komited mencapai sasaran musim ini, untuk itu kami perlukan kondisi terbaik di semua peringkat dalam pasukan utama,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Leverkusen, Fernando Carro.