KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan berangkat ke Bazar Aidilfitri Madani Lestari dan Pintar 2025 di Dataran Sekilau di sini malam ini.
Baginda turut berkenan membuat cabutan bertuah utama dan menyampaikan hadiah sebuah kereta Perodua Axia kepada pemenang, Amy Naiima Wong Muhammad Wong Kim Hwa, 19, yang berasal dari Taman Tas di sini.
Selepas itu, Tengku Hassanal turut berkenaan menyantuni peniaga dan pengunjung di situ.
Rata-rata pengunjung yang hadir begitu teruja dengan keberangkatan baginda dan tidak melepaskan peluang mengambil gambar sebagai tanda ingatan dan kenang-kenangan.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohamad Nizar Najib.
Mohamad Nizar turut membuat cabutan bertuah dan menyampaikan lima hadiah iaitu motosikal, skuter elektrik, pendingin hawa dan hamper.
Penganjur bazar, Shafieq Johari berkata, pihak pengurusan Mitashamika Resources menjunjung kasih di atas kesudian Tengku Mahkota Pahang berangkat ke bazar Aidilfitri Dataran Sekilau.
“Alhamdulillah, keberangkatan Tengku Mahkota Pahang begitu bermakna buat pihak pengurusan bazar dan juga para peniaga di sini.
“Keberangkatan baginda turut memberi impak positif terutama kepada peniaga di sini kerana kehadiran pengunjung pada malam ini agak luar biasa berbanding hari-hari sebelum ini.
“Sekali lagi kami di pihak pengurusan Mitashamika Resources ingin menjunjung kasih ke sini Tengku Mahkota Pahang kerana baginda berkenan mencemar duli ke bazar Aidilfitri Dataran Sekilau pada tahun ini, alhamdulillah,” katanya. – UTUSAN