Tengku Muhammad Ismail Dilantik Pemangku Raja Terengganu

Tengku Muhammad Ismail Dilantik Pemangku Raja Terengganu


Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan dilantik sebagai Pemangku Raja Terengganu berkuatkuasa 15 April ini.

Setiausaha Dewan Pangkuan DiRaja Terengganu, Datuk Azmal Azaddin berkata, pemasyhuran pelantikan Pemangku Raja telah disempurnakan di Istana Terengganu, Kuala Lumpur.

Katanya, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin memperkenankan pelantikan itu kerana baginda akan berehat daripada tugasan rasmi atas nasihat pegawai perubatan.

“Upacara pemasyhuran pelantikan Pemangku Raja telah diadakan di Istana Terengganu, Kuala Lumpur.

“Pelantikan dibuat berikutan Baginda Sultan akan beristirehat daripada semua tugas-tugas serta atur cara rasmi atas nasihat pegawai perubatan, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu kata Azmal, sambutan Hari Ulang Tahun Ke-64 Hari Keputeraan Sultan Terengganu yang akan disambut pada 26 April ini serta semua istiadat, atur cara dan program yang berkaitan akan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan diumumkan kemudian.

Tengku Muhammad Ismail merupakan putera sulung Sultan Mizan dan Sultanah Nur Zahirah yang diputerakan pada pada 2 Mac 1998 di Kuala Terengganu.

Baginda dimasyhurkan sebagai Yang Dipertuan Muda Terengganu pada 12 Januari 2006.






Source link

OR

Scroll to Top