Tengku Zafrul bangga prestasi pemain negara di Macau

Tengku Zafrul bangga prestasi pemain negara di Macau


Roy King (kiri) dan Wan Arif muncul juara Terbuka Macau pada Ahad.

PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menzahirkan penghargaan kepada semua pemain negara yang melakar pencapaian membanggakan pada Terbuka Macau 2025 Ahad lalu.

Malah beliau turut memuji semangat juang tinggi yang diperagakan barisan pemain yang berjaya melangkah ke pentas akhir dalam tiga kategori termasuk merangkul satu kejuaraan.

“Tahniah dan syabas kepada semua pemain atas semangat juang yang tinggi,” catat beliau menerusi akaun rasmi X miliknya.

Tumpuan utama sudah pasti terarah kepada Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King yang memahat sejarah muncul juara beregu lelaki, sekali gus menghadiahkan Malaysia kejuaraan pertama dalam kategori itu di Macau selepas 12 tahun.

Gandingan yang menghuni ranking ke-24 dunia itu mengejutkan pasangan nombor lapan dunia dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani 22-20, 21-18 dalam aksi final di Macao East Asian Games Dome.

“Syabas! Kemenangan yang sangat dinanti. Ini juga kejuaraan pertama Jelajah Dunia BWF dalam karier mereka. Bukti komitmen dan kerja keras kalian membuahkan hasil. Teruskan momentum ini!” catat Tengku Zafrul.

Beliau turut memuji persembahan Justin Hoh yang meraih pencapaian terbaik dalam kariernya apabila beraksi di final acara perseorangan lelaki, walaupun terpaksa akur tewas kepada pemain muda Indonesia, Alwi Farhan 15-21, 5-21.

“Ini adalah pencapaian terbesar dalam karier beliau setakat ini. Walaupun tewas, Justin telah menunjukkan potensi luar biasa. Jalan masih panjang, teruskan usaha!”

Satu lagi pencapaian manis disumbangkan oleh beregu campuran profesional, Jimmy Wong-Lai Pei Jing yang mengejutkan beberapa pasangan pilihan sebelum bergelar naib juara.

“Pasangan ini menunjukkan kehebatan dengan menewaskan banyak beregu pilihan untuk ke final,” tulis Tengku Zafrul.



Source link

OR

Scroll to Top