PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, diharap dapat meneliti semula ekosistem badan induk itu dalam memastikan kebajikan semua pemain badminton terus terbela, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Beliau berkata, atlet berpotensi disarankan untuk terus berada di bawah naungan BAM berbanding bergerak secara profesional agar mereka mendapat sokongan sepenuhnya daripada kerajaan melalui badan induk tersebut, termasuk dari segi latihan dan kebajikan.
“Kelebihan berada di bawah BAM ialah mempunyai rakan sepelatih yang baik. Sekiranya mereka menjadi pemain profesional, mereka akan kekurangan rakan sepelatih dan ini boleh menjejaskan prestasi.
“Sebab itu saya minta Tengku Zafrul untuk melihat ekosistem ini dan memastikan yang terbaik. Kalau boleh, para pemain kekal bersama BAM supaya bantuan kerajaan sampai kepada mereka dan ada sistem yang tersusun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran video kesedaran Kempen Belia Bebas Dadah bersama pihak pawagam dan atlet Malaysia yang turut dihadiri Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh pada Isnin.
Sementara itu, Hannah turut menyatakan rasa puas hati terhadap peningkatan prestasi skuad badminton negara dalam kejohanan Malaysia Masters 2025 yang berlangsung pada Ahad.
“Saya percaya dengan adanya jurulatih dan bantuan menerusi inisiatif Road To Gold (RTG), kita boleh terus memperkasakan pencapaian mereka,” katanya.
Dalam majlis sama, Hannah turut mengumumkan kerjasama strategik antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dengan TGV Cinemas bagi memperkukuh pelaksanaan Kempen Belia Bebas Dadah.