am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Memang kami gembira dengan perkongsian berita penemuan itu. Saya yakin itu dia (Jaslinda)… tengok gayanya, sebagai kakak saya (yakin) memang itu dia,” kata Jasima Saludin.
Demikian reaksi Jasima yang juga kakak kepada pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang di Gunung Batu Putih, Tapah di Perak sejak bulan lalu susulan laporan berita adiknya sudah ditemui selamat petang ini.
Jasima ketika dihubungi Harian Metro memaklumkan setakat ini pihaknya masih belum mendapat pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa mengenai penemuan adiknya itu.
Bagaimanapun katanya, sebagai kakak dia bersyukur dan gembira dengan berita itu sekali gus berharap wanita yang dilaporkan itu adalah adiknya.
“Memang kita gembira (dengan laporan berita penemuan Jaslinda) namun kami masih menunggu (pengesahan rasmi yang mengesahkan wanita itu adalah benar Jaslinda),” katanya.
Dalam kemajuan teknologi dengan kecerdasan buatan (AI), tidak mustahil gambar boleh disunting, namun Jasima mengakui dia yakin wanita dalam video dan gambar yang tular di media sosial itu adalah adiknya, Jaslinda.
“Saya yakin itu dia (Jaslinda), tengok gayanya sebagai kakak, saya (yakin) memang itu dia tetapi kami masih tunggu pengesahan (rasmi),” katanya.
Katanya, mereka sekeluarga tidak pernah berhenti berdoa saban hari sejak Jaslinda dilaporkan hilang dan yakin adiknya itu akan kembali, malah menyifatkan wanita itu sebagai seorang yang kuat semangat.
“Saya kenal dia (sebagai) wanita kuat semangat, yakin dan boleh ‘survive’,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, Jaslinda yang hilang ketika mendaki di kawasan Gunung Batu Putih di Tapah, Perak ditemui selamat petang ini.
Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti.
Bagaimanapun, Jaslinda kemudian dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat oleh MGP pada 7.30 pagi, 24 Mei.
© New Straits Times Press (M) Bhd






