Pelakon Indonesia, Aditya Zoni tampil memberi sokongan penuh kepada abangnya, Ammar Zoni, yang kini dipenjara selepas terbabit dalam tiga kes berkaitan dadah.
Kata Aditya atau nama lengkapnya Muhammad Aditya Warman, 25, dia mendoakan agar Ammar berada dalam keadaan baik memandangkan dia tidak mengetahui tempoh penahanan abangnya itu.
Bagaimanapun, dia dan keluarga sentiasa memberikan sokongan terhadap Ammar.
“Doakan ada berita baik buatnya. Saya pun sudah lama tidak bertemu dengannya. Kali terakhir sekitar dua bulan lalu, sebelum dia dipindahkan ke penjara berbeza.
“Seperti yang saya katakan kepada media di Indonesia, apabila seseorang terbabit dalam penggunaan bahan terlarang, di mana-mana negara sekalipun, rehabilitasi tetap perlu ditempuh. Kesalahan perlu dihukum dan mereka juga perlu diubat
“Kami selalu menyokong Ammar dan walau apa pun terjadi, saudara harus saling menyokong saudara sendiri.
“Salah tetap salah tapi perkara itu juga harus diubati,” katanya.
Aditya berkata demikian usai ditemui pada malam tayangan Filem Menjelang Maghrib 2 : Wanita Yang Dirantai di TGV One Utama baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Aditya menjelaskan, konflik yang menimpa Ammar sedikit pun tidak mengganggu karier lakonannya.
“Apapun yang berlaku, kami tetap adik beradik dan kami akan tetap menyokong antara satu sama lain.
“Lagipun, banyak perkara sudah berlaku dalam keluarga kami. Doakan ada berita baik untuknya.
“Kali terakhir jumpa dua bulan lalu, sudah kurus mukanya tapi alhamdulilah dia baik-baik sahaja,” jelasnya.

Media Indonesia sebelum ini melaporkan Ammar sudah tiga kali didapati terbabit dengan kes penyalahgunaan dadah.
Terbaharu, dia dilaporkan kembali berurusan dengan bahan terlarang dan ditahan kerana disyaki terbabit aktiviti menjual dadah ketika masih berada dalam tahanan.
Berkongsi perkembangan terkininya pula, Aditya mengakui teruja dapat bersama-sama penonton Malaysia menyaksikan Filem Menjelang Maghrib 2: Wanita Yang Dirantai.
“Sambutan di Indonesia sangat baik, jadi saya berharap ia mendapat penerimaan sama di Malaysia kerana masyarakat di sini juga gemar menonton filem seram.
“Tetapi apa yang kami tawarkan bukan sekadar seram klasik, sebaliknya ada elemen budaya dan nilai moral,” ujarnya.
Sekadar info, Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai mengangkat kisah amalan pasung, iaitu kepercayaan turun-temurun sebagai kaedah rawatan gangguan mental.
Selain Aditya, filem itu turut dibintangi Ajeng Fauziah, Muthia Datau, Aisha Kastolan dan Aurelia Lourdes, dan bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 20 November 2025.





