Bangkok: Sepasang suami isteri Thailand membatalkan niat membeli peti sejuk beku lama yang hendak dibeli dari ladang babi terbiar di wilayah tengah Prachin Buri, selepas menemui beberapa tulang misteri didalamnya.
Tulang itu sedang disiasat untuk menentukan sama ada ia milik manusia atau haiwan.
Pasangan itu berkongsi penemuan mengejutkan mereka di kumpulan Facebook untuk penduduk tempatan di Prachin Buri.
Mereka menjelaskan, seorang pelanggan menghubungi mereka untuk menjual peti sejuk lama dan meminta mereka untuk memeriksanya.
Menurut pasangan itu, mereka melihat peti sejuk itu dan membuka penutupnya untuk pemeriksaan sebelum ternampak satu guni baja kosong di dalamnya dan mengeluarkannya.
Tanpa disangka, di bawah beg itu terdapat tulang yang mereka yakin itu tulang manusia.
Mereka memutuskan untuk tidak membeli peti sejuk beku dan segera meninggalkan tempat kejadian sebelum berkongsi cerita dengan komuniti dalam media sosial.
Perkongsian pasangan itu mendapat perhatian daripada netizen termasuk media tempatan untuk menemu bual mereka.
Pasangan itu mendedahkan kepada ThaiRath, pelanggan yang ingin menjual peti sejuk itu menghubungi mereka melalui telefon.
Mereka cuba meminta akaun Facebook atau LINE tetapi pelanggan itu enggan memberikan serta berkeras untuk berkomunikasi melalui telefon semata-mata.
Pelanggan mengatur pertemuan dengan mereka di ladang babi di daerah kecil Ban Phra.
Selepas bersetuju dengan harga, pasangan itu meminta untuk membuat pemeriksaan sebelum menemui tulang itu tetapi tidak menemui tengkorak.
Mereka menyoal pelanggan mengenai tulang itu tetapi dia mendakwa, dia hanya penjaga ladang itu.
Pada 12 November lalu, polis Balai Polis Mueang Prachin Buri dan pegawai berkaitan menyerbu ladang untuk menyiasat tulang itu.
Pihak berkuasa menemui dua guni dengan kesan darah dan 67 keping tulang di dalam peti sejuk itu.
Forensik membuat kesimpulan, tulang itu adalah daripada haiwan, bukan manusia.
Penjaga ladang itu, juga percaya tulang itu adalah babi kerana tempat itu sebelum ini adalah ladang babi.
Namun, pegawai akan mengumpul semua tulang dan bukti berkaitan untuk siasatan lanjut bagi mengesahkan asal usul tulang itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd