COCO Gauff dipaksa bekerja keras bekas juara Sofia Kenin sebelum mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua Terbuka Australia dengan kemenangan 6-3, 6-3 di Rod Laver Arena, Melbourne.
Gauff, pilihan ketiga, yang mengetuai Amerika Syarikat (AS) menjuarai Piala United di Sydney ternyata, terkesan dengan cahaya matahari dan kesilapan mudah pada set pertama.
Kenin, yang menewaskan Gauff semasa merangkul kejuaraan di Melbourne Park pada 2020 ternyata memanfaatkan kelebihan tersebut sebelum juara Terbuka AS 2023 itu bangkit.
“Ia satu perlawanan yang sukar hari ini tetapi saya gembira cara saya bermain. Saya boleh melakukan servis yang lebih baik tetapi saya hampir tidak dapat melihat pada (satu) hujung,” kata pemain berusia 20 tahun itu.
Sebagai rekod, prestasi terbaik Gauff di Melbourne adalah pentas separuh akhir ketika tewas kepada juara Aryna Sabalenka tahun lalu, akan menentang pemain Britain, Jodie Burrage di pusingan kedua.
Sabalenka sebelum ini memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Terbuka Australia dengan menumpaskan Sloane Stephens 6-3, 6-2 pada Ahad.