Pearly (kanan) dan Thinaah tumpas di tangan pasangan China dalam aksi suku akhir Terbuka Singapura pada Jumaat. Foto Agensi.
BELUM menjadi rezeki beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah untuk melangkah ke separuh akhir Terbuka Singapura apabila perjalanan mereka terkandas di peringkat suku akhir sebentar tadi.
Pasangan nombor empat dunia itu dilihat sudah memberikan segala-galanya, namun masih belum memadai untuk mengatasi Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian dalam pertembungan lapan kelompok terbaik.
Pearly-Thinaah yang merupakan juara Terbuka Thailand bermula baik apabila menang set pertama 21-14.
Pasangan China itu yang berkedudukan ke-11 dunia bagaimanapun bangkit menyusun gerak untuk mengikat kedudukan 24-22 bagi melanjutkan saingan ke set penentuan.
Bagaikan dapat ‘nafas baharu’, Yi Fan-Shu Xian meneruskan momentum positif apabila mengesahkan kemenangan ke atas Pearly-Thinaah 21-14 dalam masa 73 minit permainan dalam saingan di Stadium Tertutup Singapura itu.
Keputusan tersebut menyaksikan rekod pasangan China ke atas gandingan negara melebar kepada 3-1.