BEREGU lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani membuktikan status mereka sebagai pilihan utama apabila meraih kemenangan pertama hari ini untuk mara ke pusingan kedua Terbuka Thailand di Stadium Nimibutr, Bangkok.
Pasangan nombor sembilan dunia itu menewaskan gandingan Jepun, Hiroki Okamura-Kyohei Yamashita 21-15, 17-21, 21-12 dalam perlawanan yang berlangsung selama 56.
Sze Fei berkata mereka berpuas hati dengan perancangan permainan dan prestasi keseluruhan, namun masih perlu meningkatkan keupayaan menyesuaikan diri dengan keadaan angin di dalam gelanggang.
“Kami berpuas hati dengan strategi hari ini. Meskipun tidak 100 peratus sempurna, sekurang-kurangnya 60 hingga 70 peratus berhasil, sekali gus membolehkan kami mengawal permainan. Satu perkara yang kami perlu perbaiki ialah mengawal angin di dalam gelanggang serta mengurangkan jumlah pukulan lambung tinggi,” katanya kepada Bernama hari ini.
Menurut Sze Fei, beliau dan Izzuddin menyasarkan kedudukan podium namun menegaskan fokus mereka pada masa ini adalah untuk memberikan aksi terbaik dan mengharungi saingan satu demi satu perlawanan.
Sze Fei dan Izzudin yang merangkul gelaran Masters Indonesia awal tahun ini akan berdepan pasangan China, Huang Di-Liu Yang esok bagi merebut tempat ke suku akhir.
Kali terakhir Sze Fei-Izzuddin beraksi dalam kejohanan berkenaan ialah pada edisi 2022 apabila kempen mereka berakhir di peringkat suku akhir selepas tewas kepada gandingan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.
Terdahulu, beregu lelaki negara, Choong Hon Jian-Wong Vin Sean gagal melangkah ke pusingan seterusnya selepas tewas kepada juara baharu Terbuka Switzerland dan pilihan keempat dari Chinese Taipei, Lee Fang-jen-Lee Fang-chih, 20-22, 26-24, 7-21 dalam perlawanan selama 63 minit.
Sementara itu, pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia dijadualkan menentang pemain Israel, Daniil Dubovenko petang ini bagi merebut tempat ke pusingan kedua.
Sekiranya mara, bekas pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu dijangka bertemu sama ada pemain Denmark, Ditlev Jaeger Holm atau wakil Chinese Taipei, Chou Tien Chen pada pusingan seterusnya.
Zii Jia merupakan juara dua kali Terbuka Thailand dengan memenangi gelaran berkenaan pada 2022 dan 2024.
— BERNAMA
TAG: Terbuka Thailand, Goh-Izzuddin, beregu lelaki, Stadium Nimibutr, Lee Zii Jia






