sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Kejayaan dua pelumba muda kelahiran Terengganu di pentas antarabangsa mendorong kerajaan negeri untuk memperkasakan lagi sukan permotoran itu.
Ia selepas pelumba berbakat negara, Hakim Danish Ramli, 17, dan Qabil Irfan Azlan, 13 mencuri tumpuan dunia selepas masing-masing meraih kejayaan membanggakan dalam beberapa kejohanan antarabangsa disertai mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kejayaan dua pelumba itu mendorong kerajaan negeri untuk menaik taraf litar sukan itu di negeri ini.
“Kerajaan negeri berbangga dengan pencapaian cemerlang dan luar biasa dilakar dua pelumba muda kelahiran Terengganu itu di pentas antarabangsa kerana ia bukan mudah untuk diraih.
“Pengorbanan Hakim Danish dan Qabil Irfan serta keluarganya perlu mendapat sokongan semua pihak serta diberikan pengiktirafan yang sewajarnya atas pencapaian masing-masing, selain seharusnya dijadikan contoh kepada pelumba muda lain.
“Bagi memastikan sukan itu terus berkembang dan cemerlang, dalam masa terdekat kerajaan negeri akan menaik taraf litar permotoran sedia ada yang bakal dikelolakan oleh bapa Qabil Irfan.
“Pada masa sama kita bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menganjurkan beberapa aktiviti bagi menyemarakkan lagi sukan permotoran ini dalam misi melahirkan lebih ramai bakat baharu.
“Antara perkara dilaksanakan bawah KBS ialah hari trek dan mereka akan buat di litar yang kita ada untuk memberikan pendedahan kepada bakat baharu kerana kita tidak mahu ketinggalan, sebaliknya akan menyambung usaha ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd