Terengganu buat persiapan harungi jadual padat

Terengganu buat persiapan harungi jadual padat


KEPADATAN jadual sepanjang Januari dan Februari akan menjadi cabaran terbaharu buat gergasi pantai timur Terengganu FC apabila kembali mengharungi baki saingan musim ini.

Malah, pengendali sementara skuad Penyu, Badrul Afzan Razali juga mengakui masih terdapat beberapa penambahbaikan yang perlu dilakukan bekas pemain berusia 48 tahun dalam memperkuatkan cabaran pasukan.

“Sekarang kami sedang memanfaatkan tempoh rehat dua minggu ini untuk persediaan satu perlawanan ke satu perlawanan, bermula dengan menentang Shan United pada Januari depan.

“Selepas itu kami akan berdepan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi timbal balik Piala Malaysia pada Januari diikuti Februari.

“Setakat ini untuk aksi berdepan Shan ini semua pemain-pemain berada pada tahap terbaik, kecuali Suhaimi Husin yang mengalami kecederaan ligamen,” katanya kepada Sukan Sinar.

Anak buah Badrul Afzan akan bertandang ke Stadium Thuwunna, Yangon berdepan kelab Myanmar, Shan United tersebut pada 8 Januari.

Skuad Penyu pada ketika ini berada di kedudukan kelima Kumpulan A dengan satu mata hasil satu seri, satu tewas selepas mengharungi dua perlawanan.

Saingan Piala Malaysia pula skuad Penyu kini memasuki pusingan separuh akhir dengan JDT menjadi cabaran dalam usaha juara 2001 mengintai slot ke perlawanan akhir.

Terengganu lulus ranjau pertama Piala Malaysia apabila menjinakkan kelab Liga A1 Semi Pro, Melaka FC dengan agregat 4-1 selepas menang 4-1 di Stadium Hang Jebat sebelum diikat tanpa jaringan timbal balik kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Suku akhir, Terengganu menyingkirkan cabaran juara edisi 2011, Negeri Sembilan FC dengan agregat 6-2 selepas menang 0-2 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi diikuti 4-2 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

PIALA MALAYSIA

SEPARUH AKHIR PERTAMA

JUMAAT (17 JANUARI)

Terengganu FC lwn Johor Darul Ta’zim

(Stdm Sultan Mizan Zainal Abidin, 9 malam)

SABTU (18 JANUARI)

Sabah FC lwn Sri Pahang FC

(Stdm Likas, 8.15 malam)

SEPARUH AKHIR KEDUA

SABTU (1 FEBRUARI)

Johor Darul Ta’zim lwn Terengganu FC

(Stdm Sultan Ibrahim, 5.30 petang)

AHAD (2 FEBRUARI)

Sri Pahang lwn Sabah FC

(Stdm Majlis Perbandaran Temerloh, 8.30 malam)

* Tarikh, masa, venue tertakluk pindaan Liga Bolasepak Malaysia



Source link

OR

Scroll to Top