Terengganu FC tewaskan Melaka FC 2-1

Terengganu FC tewaskan Melaka FC 2-1


MELAKA: Melaka FC hampa apabila tunduk 1-2 kepada pasukan Terengganu FC dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat di sini, sebentar tadi.

Hajat tuan rumah untuk menebus kekalahan 0-5 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi pertama suku akhir baru-baru ini tidak menjadi kenyataan.

Sebaliknya buat Terengganu FC kemenangan tipis ke atas Melaka FC itu sedikit sebanyak mengubat kegagalan mereka disekat Selangor FC ke suku akhir Piala Malaysia.

Kekalahan tuan rumah adalah yang ke-10 daripada 16 perlawanan Liga Super meletakkan pasukan itu menduduki dua anak tangga terbawah liga dengan 10 mata setakat ini.

Terengganu FC memecah kebuntuan jaringan gol menerusi penyerang kebangsaan, Muhammad Akhyar Rashid pada minit ke-35.

Gol dicipta hasil umpanan cantik Adonnis Kastaneer di dalam kotak penalti tepat kepada Akhyar yang merembat kencang menewaskan penjaga gol tuan rumah, Samuel Somerville.

Tersentak dengan gol awal itu anak didik jurulatih E.Elavarasan cuba bangkit untuk menyamakan kedudukan namun sukar menembusi benteng pertahanan ampuh pelawat.

Pada minit ke-54 tuan rumah hampa untuk menyamakan kedudukan apabila sepakan kencang Dino Kalesic sekadar melewati palang gol pelawat.

Ketika Melaka FC cuba mencari gol penyamaan serangan pantas pelawat membuahkan hasil apabila Panshanbe Ehsoni menjaringkan gol kedua Terengganu FC pada minit ke-59.

Namun gol tersebut dibatalkan pengadil perlawanan, Muhammad Afiq Naim Ahmad Khilmi kerana Panshanbe berada pada posisi ofsaid hasil semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Usaha Melaka FC mencari gol penyamaan akhir berjaya menerusi jaringan Dino Kalesic hasil sepakan kaki kanan dari luar kotak penalti menewaskan Muhammad Rahadiazli pada minit ke-73.

Bagaimanapun, kelegaan tuan rumah tidak lama apabila pada minit ke-77 Terengganu FC kembali memintas mendahului 2-1 menerusi jaringan pemain tengah, Mohamad Baqiuddin Shamsudin.-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top